Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Idea baru ‘Bakso Durian’ dapat sambutan hangat

Musim durian yang kini kembali lagi mencetuskan idea kreatif buat seorang peniaga bakso di Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh untuk menghasilkan menu kombinasi ‘bakso durian’.

Anggaran Waktu Membaca:
Idea baru ‘Bakso Durian’ dapat sambutan hangat

Bakso Durian kini dijual dalam tiga versi berbeza. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Aug 2019 03:00PM Dikemas Kini : 01 Aug 2019 03:03PM

JERTIH: Musim durian yang kini kembali lagi mencetuskan idea kreatif buat seorang peniaga bakso di Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh untuk menghasilkan menu kombinasi ‘bakso durian’.

Helmy Abd Rashid, 48 tahun, atau lebih dikenali Abe Pok Mie berkata pada mulanya dia kurang yakin dengan idea menggabungkan makanan dari Indonesia itu bersama raja buah berkenaan kerana bimbang tidak mendapat sambutan.

Namun dia memberanikan diri untuk memperkenalkan menu baru itu pada program ‘Showcase dan Klinik Usahawan’ yang dianjurkan kerajaan negeri di Jertih pada awal bulan ini.

“Sebelum ini saya ada terfikir untuk mencipta menu baru tapi saya takut untuk mencuba kerana risau tidak mendapat sambutan daripada pelanggan. Lagipun bila difikirkan kembali macam pelik juga bakso dicampur dengan durian.

“Namun apabila saya cuba bawa menu ini ke program keusahawanan itu, ternyata ia mendapat sambutan dan ramai yang bertanya di mana mereka boleh dapatkan bakso durian ini,” katanya kepada Bernama ketika di temui di gerai baksonya di PTK Nyior Tujuh.

BAKSO DURIAN 3 VERSI BERBEZA

Helmy memperkenalkan bakso durian di gerainya dalam tiga versi iaitu isi durian digaul bersama bebola daging; seulas durian disalut isi daging; dan isi durian yang segar dihidang bersama sup bakso.

Bapa kepada empat anak itu menjual bakso durian pada harga RM5 hingga RM10 (sekitar $1.60 hingga $3.30) bergantung kepada jenis buah durian yang diminta pelanggan.

Menurutnya, proses pembuatan bakso durian juga agak rumit berbanding bakso biasa kerana daging yang dikisar perlu diuli dengan tangan satu persatu bersama isi durian.

Menghasilkan bakso durian bukan sahaja memerlukan kemahiran malah pemilihan jenis durian juga perlu dititikberatkan agar rasa durian masih kekal walaupun dimasak bersama sup, katanya.

“Selalunya saya memilih durian musang king atau durian kampung yang berkualiti tinggi kerana isinya yang tebal, bergas dan rasa lemak untuk menaikkan lagi rasa durian dalam bakso tanpa menghasilkan rasa ‘muak’,” katanya.

Berpengalaman 20 tahun berniaga bakso di pelbagai tempat termasuk Kuala Lumpur, Helmy berkata sup bakso yang dijualnya juga direneh bersama 13 jenis rempah bagi menghasilkan rasa sup yang asli dan enak. 

Sumber : Bernama/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan