Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu tunggal dihukum sebat, penjara kerana melacur

Seorang ibu tunggal berumur 30 tahun dijatuhi hukuman enam sebatan dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persediaan untuk melacur pada 17 September lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tunggal dihukum sebat, penjara kerana melacur

Seorang ibu tunggal mengaku bersalah atas pertuduhan persediaan untuk melacur. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Sep 2018 03:20PM Dikemas Kini : 27 Sep 2018 03:22PM

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal berumur 30 tahun dijatuhi hukuman enam sebatan dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persediaan untuk melacur pada 17 September lalu.

Hakim Syarie Rosdi Harun menjatuhkan hukuman tersebut dalam prosiding yang dijalankan selama lebih sejam hari ini (27 Sep).

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 (S$1,600) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie Terengganu, Mohd Kahzmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah hari ini (27 Sep) juga mengarahkan hukuman sebatan dilaksanakan di penjara di mana tertuduh ditahan selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan daripada pihak tertuduh.

Hakim Syarie ketika membacakan pertuduhan bagaimanapun menyatakan kekecewaannya terhadap sikap wanita berusia 30 tahun itu yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.

Tertuduh yang berbaju kurung berwarna biru muda dan tudung juga dilihat tidak memberikan sebarang reaksi selepas hukuman dibacakan.

Dalam prosiding sebelum ini, wanita dari Selangor itu ditahan ketika bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya dalam serbuan di sebuah bilik Hotel Felda Residence pada sekitar jam 11.45 malam pada 17 September lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan yang dilakukan penguat kuasa syariah daerah di bilik bernombor 507 di hotel berkenaan dan melakukan rampasan terhadap 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.

Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran sebanyak RM100 (S$30) daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.

Tertuduh mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan anak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Selangor.

Sumber : Bernama/AQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan