Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu sarat mengandung cekalkan hati cari tempat berteduh bagi 3 anak kecil selepas rumah dinaiki air

Sudahlah sarat mengandung, seorang ibu muda terpaksa memandu selama dua jam setengah untuk mencari pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumahnya di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, dinaiki air pada awal pagi Sabtu (2 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu sarat mengandung cekalkan hati cari tempat berteduh bagi 3 anak kecil selepas rumah dinaiki air

Fazila Hamdan sekeluarga di sebuah pusat pemindahan sementara banjir dekat Kota Tinggi (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Jan 2021 11:52AM Dikemas Kini : 06 Jan 2021 11:57AM

KOTA TINGGI: Sudahlah sarat mengandung, seorang ibu muda terpaksa memandu selama dua jam setengah untuk mencari pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumahnya di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, dinaiki air pada awal pagi Sabtu (2 Jan).

Meskipun keletihan, Fazila Hamdan, 29, tidak putus semangat, malah terus cekal memandu setelah satu demi satu PPS yang dikunjunginya bersama tiga anak perempuanya berusia antara tiga dan tujuh tahun, sudah penuh dengan mangsa banjir.

"Saya terpaksa memandu kereta bawa anak-anak. Mereka tidur kerana keletihan menolong mengangkat barang untuk diletakkan dalam sebuah lagi kereta dipandu suami.

"Dua PPS di Taman Daiman penuh, saya terpaksa berpatah balik ke Taman Kota Jaya. Di sini, dua PPS juga dimaklumkan penuh sehinggalah saya telefon semula Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beritahu mereka saya sarat mengandung. Akhirnya kami dapat tempat di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu pada Selasa (5 Jan).

Fazila, yang kini mengandung enam bulan berkata, setelah rumahnya di Taman Kota Jaya dinaiki air, beliau dan suami bersama tiga anak mereka keluar menyelamatkan diri dan berhasrat berlindung di PPS pada kira-kira 1.30 pagi.

Beliau menaiki kereta bersama tiga anak perempuan manakala suaminya, Shahabuddin Sakiman, 34, memandu sebuah lagi kereta yang dimuatkan dengan dokumen peribadi dan perkakas rumah.

“(Masuk) sini (PPS) dalam pukul 5.00 pagi lebih, baru dapat masuk anak-anak. Semua (anak) dah tidur keletihan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Fazila amat bersyukur kerana wanita mengandung sepertinya diberi keutamaan seperti peluang mendapatkan rawatan dan kaunseling oleh jururawat yang bertugas di PPS.

Selain itu, kemudahan asas yang disediakan di PPS juga lengkap seperti tandas yang bersih, ruang khemah yang selesa dan diberi makan mengikut jadual.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak berikutan sukar mendapatkan tempat di PPS, suri rumah itu berkata pada hari pertama kejadian, paras air naik dengan pantas di Kota Tinggi menyebabkan banyak rumah terjejas.

Yang pasti, beliau tetap bersyukur apabila ramai mangsa banjir terdiri daripada bayi, kanak-kanak dan warga emas, tetap diberi keutamaan dalam penempatan di PPS.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan