Images
  • mamid
    Cik Adelina Lisao dipaksa tidur bersebelahan seekor anjing di sebuah tempat letak kereta. (Gambar: Steven Si/Merdeka) 

Ibu pembantu rumah yang dilayan 'seperti anjing' tuntut keadilan selepas kematiannya

KUALA LUMPUR: Setahun selepas kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipaksa tidur bersebelahan seekor anjing, ibunya menuntut keadilan ke atasnya sedang beberapa kes penderaan lain dibawa ke mahkamah Malaysia.

Kematian Cik Adelina Lisao mencetuskan kemarahan awam. Dua majikannya - seorang ibu dan anak perempuannya, didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan menggajikan seorang pekerja asing tanpa memiliki dokumen-dokumen sah. Namun tidak banyak kemajuan dibuat berhubung kes tersebut.

"Saya merindui anak saya selama setahun," kata ibu Cik Lisao, Cik Yohana Banunaek, kepada para wartawan pada Selasa (12 Feb) menerusi Skype dari Kupang, sebuah bandar di timur Indonesia.

"Beliau meninggal dunia bukan kerana sakit tetapi diseksa," tambahnya semasa satu acara memperingati mendiang genap setahun selepas kematiannya.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menekankan pada Selasa bahawa Malaysia bersedia "mengisytiharkan peperangan" terhadap penyeludupan manusia dan buruh paksa, sambil menambah bahawa satu semakan terhadap undang-undang buruh sedang dikuatkuasakan.

Kematian Cik Lisao adalah antara kes penderaan pendatang asing yang berprofil tinggi di Malaysia yang banyak bergantung kepada pekerja asing dalam sektor-sektor seperti pengilangan, perladangan dan kerja rumah.

Cik Lisao, yang berusia 20-an tahun diselamatkan dari rumah majikannya di Pulau Pinang pada 10 Feb tahun lalu setelah jiran-jiran membuat aduan bahawa beliau tidur bersebelahan seekor anjing di sebuah tempat letak kereta yang terhubung dengan rumah itu.

Beliau ditemui dengan kesan luka di bahagian mukanya dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami pada keesokan harinya.

- Reuters/NA/na

Top