Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu kandung, bapa tiri didakwa bunuh budak lelaki 6 tahun

Ibu kandung dan bapa tiri didakwa di Mahkamah Majistret hari ini (10 Feb) atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki enam tahun, yang ditemui lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu kandung, bapa tiri didakwa bunuh budak lelaki 6 tahun

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 03:06PM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 03:09PM

MELAKA: Ibu kandung dan bapa tiri didakwa di Mahkamah Majistret hari ini (10 Feb) atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki enam tahun, yang ditemui lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya pada bulan lalu.

Zuraida Atan, 31, dan suaminya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, masing-masing mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan suami isteri itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama membunuh Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya pada 3.32 petang, 29 Jan lalu.

Mereka dituduh mengikut Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak yang sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya dan diabaikan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara 13 Okt tahun lalu dan 29 Jan tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 (S$6,600) atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nariman Badruddin tidak membenarkan kedua-dua tertuduh itu diikat jamin bagi pertuduhan tersebut dan menetapkan 29 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka Badius Zaman Ahmad, manakala Zuraida diwakili empat peguam yang diketuai Zamri Idrus dan Mohd Fadzli diwakili dua peguam yang diketuai Encik Ahmad Musthafi Mohamad.

Pihak media tidak dibenarkan memasuki mahkamah untuk mengikuti kedua-dua prosiding itu kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kecuali keluarga terdekat kedua-dua tertuduh.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan