Images
  • baby white (1)
    (Gambar hiasan: Luma Pimental/Unsplash)

Ibu hamil sudah divaksin pindahkan antibodi kepada bayi dikandung

REUTERS: Pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan ramai wanita hamil mendapati mereka berada dalam situasi mudah terdedah kepada bahaya.

Menurut Pusat Kawalan and Pencegahan Penyakit (CDC), wanita hamil dan dijangkiti COVID-19 didapati lebih cenderung untuk mengalami komplikasi pernafasan yang memerlukan rawatan intensif berbanding wanita tidak hamil.

Berikut adalah ringkasan beberapa kajian terbaru mengenai COVID-19.

Ia termasuk penyelidikan yang memerlukan kajian lebih lanjut untuk mengesahkan penemuan dan yang belum disahkan oleh semakan oleh pakar sains seangkatan.

Wanita hamil yang mendapatkan suntikan vaksin mRNA terhadap COVID-19 memberikan antibodi pelindungan yang tinggi kepada bayi mereka, menurut penyelidikan baru.

Doktor menganalisis darah tali pusat dari 36 bayi baru lahir yang ibunya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin mRNA Pfizer/ BioNTech atau Moderna.

Kesemua 36 bayi didapati mempunyai tahap antibodi yang tinggi yang menyasarkan lonjakan protein pada permukaan virus - dan semua antibodi dapat dikesan pada vaksin yang diterima si ibu.

Penemuan itu, yang dilaporkan pada Rabu dalam jurnal American Journal of Obstetrics and Gynecology - Maternal Fetal Medicine, menunjukkan bahawa "antibodi yang dihasilkan dalam tubuh ibu terhadap vaksin dipindahkan kepada bayi dalam kandungan dan seterusnya bayi mendapat perlindungan juga setelah dilahirkan," kata pengarang bersama Dr. Ashley Roman dari NYU Langone Health di New York.

Tidak jelas jika ada pertalian antara usia kandungan ketika vaksinasi itu diambil dengan tahap antibodi pada bayi. Juga, "kita tidak tahu berapa lama antibodi itu 'melekat' pada bayi," kata Dr Roman. "Tetapi kehadiran antibodi ini dalam darah tali pusat, yang merupakan darah janin, menunjukkan bayi juga berpotensi memperoleh manfaat dari vaksinasi ibu."

SAINTIS HASILKAN PETA ANTIBODI

"Peta antibodi" baru COVID-19 membantu penyelidik mengenal pasti antibodi yang akan dapat meneutralkan koronavirus walaupun ia bermutasi, menurut laporan yang diterbitkan pada Khamis di Science.

Dengan menggunakan ratusan antibodi yang dikumpulkan dari pesakit COVID-19 yang sudah sembuh di seluruh dunia, sebuah pasukan penyelidik memetakan dengan tepat di mana setiap antibodi melekat pada lonjakan protein pada permukaan virus, yang digunakannya untuk memecahkan sel dan menjangkiti mereka.

Para penyelidik mencari - dan menemui - antibodi yang menyasarkan lonjakan protein yang sangat penting untuk kitaran hidup virus sehingga virus mungkin tidak dapat berfungsi tanpanya. "Sekiranya anda membuat gabungan antibodi, anda inginkan sekurang-kurangnya satu daripada antibodi di dalamnya kerana ia mungkin akan mengekalkan keberkesanannya terhadap kebanyakan varian," kata pengarang bersama Kathryn Hastie dari Institut Imunologi La Jolla di California, dalam satu kenyataan. Pasukannya, yang dikenali sebagai Coronavirus Immunotherapeutic Consortium, telah membuat peta dan merakamkan antibodi mengikut kod warna yang tersedia di pangkalan data awam supaya saintis lain dapat mengakses data tersebut.

KEBERKESANAN VAKSIN J&J TETAP STABIL, MENINGKAT DENGAN DOS PENGGALAK

Satu kajian di Amerika Syarikat membandingkan hampir 400,000 orang yang mendapat satu dos vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dengan 1.52 juta orang yang tidak divaksinasi menunjukkan bahawa 79 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan koronavirus yang disahkan dan 81 peratus berkesan untuk mencegah kemasukan ke hospital, kata J&J dalam laporan yang diterbitkan di medRxiv sebelum semakan pakar sains seangkatan.

Ia juga mendapati tidak ada bukti kurangnya keberkesanan sepanjang tempoh kajian dari bulan Mac hingga akhir Julai - iaitu tempoh yang mana dilaporkan kenaikan varian Delta yang sangat mudah menular, kata syarikat itu.

Data awal dari kajian berasingan menunjukkan suntikan dos penggalak kedua yang diberikan kira-kira dua bulan selepas suntikan pertama meningkatkan keberkesanan vaksin kepada 94 peratus di Amerika Syarikat terhadap jangkitan COVID-19 yang sederhana hingga teruk.

Syarikat itu mengumumkan penemuan terbaru tersebut pada Selasa, yang mana separuh orang dalam kajian tersebut sudah menerima suntikan kedua sekurang-kurangnya 36 hari sebelumnya. Kesan sampingan dos kedua adalah sama dengan yang dilihat pada kajian suntikan pertama. Data tersebut bakal diterbitkan dalam beberapa bulan akan datang, kata J&J. 

LAPORAN BERKAITAN:

- Reuters/TQ/tq

Top