Images
  • accident
    Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan anggota badan. (Gambar: Gerbang Ehsan/Facebook)

Ibu hamil maut kemalangan di Kulim

ALOR SETAR: Seorang wanita yang sedang sarat mengandung dan dalam perjalanan ke hospital Kulim untuk bersalin adalah antara dua individu yang maut akibat kemalangan yang membabitkan dua buah kereta, yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Kulim Hi-Tech dekat Kulim pagi tadi (25 Nov).

Dalam kejadian pada pukul 6.27 pagi itu, Maziah Shaa’ri, 31 tahun, dan adik iparnya Muhammad Ghani Abd Razak, 26 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar, berkata kemalangan itu berlaku ketika Allahyarhamha Maziah sedang dalam perjalanan ke Hospital Kulim untuk bersalin ditemani empat anggota keluarga lain.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku apabila kereta Wira yang dipandu Allahyarham Muhammad Ghani dari arah Sungai Kob ke Kulim dirempuh pada bahagian kanan depan kereta itu oleh sebuah kereta Proton Saga, yang dipandu seorang wanita berusia 37 tahun dari arah Padang Serai ke Serdang di tengah-tengah persimpangan tersebut.

"Kita percaya salah sebuah kereta tersebut tidak berhenti di persimpangan itu menyebabkan kemalangan berlaku, namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian. Siasatan masih di peringkat awal untuk membuat sebarang kesimpulan," kata Encik Ahmad Nasir dalam satu kenyataan hari ini (25 Nov).

Encik Ahmad Nasir berkata, anak Allahyarhamha Maziah yang berusia dua tahun cedera parah akibat kemalangan tersebut. Tiga lagi individu yang lain termasuk pemandu kereta Proton Saga itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Kulim.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA/AI/ai

Top