Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu dan anak didakwa tipu jual barangan elektrik tidak wujud

Seorang wanita dan ibunya didakwa disebuah Mahkamah Majistret Malaysia pada Isnin (13 Sep) atas beberapa tuduhan menipu berhubung penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM41,645 (S$13,493).

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Seorang wanita dan ibunya didakwa disebuah Mahkamah Majistret Malaysia pada Isnin (13 Sep) atas beberapa tuduhan menipu berhubung penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM41,645 (S$13,493).

Nurul Yasmin Rosli, 32, dan ibunya Melati Zainol, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Nurul Yasmin didakwa menipu enam individu sehingga mendorong mereka membuat bayaran bagi pembelian barangan elektrik dan perkakas dapur ke akaun Hong Leong Bank atas nama Melati berjumlah RM17,541 (S$5,683) yang tertuduh gagal menyerahkan barang yang dijanjikan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh hingga ke-12, Nurul Yasmin didakwa menyalahgunakan wang RM19,548 (S$6,333) milik enam individu lain, yang diserahkan kepada tertuduh dengan memasukkan wang ke akaun bank atas nama Melati sebagai bayaran pembelian barangan elektrik dan perkakas dapur pelbagai jenama yang tidak wujud.

Dia dituduh mengikut Seksyen 403 KK yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bukit Jelutong, Shah Alam dan Sungai Buloh, antara 27 Nov 2020 hingga 13 Jun lepas.

Bagi dua pertuduhan lain, Melati dan Nurul Yasmin masing-masing didakwa dengan niat bersama menipu dua individu lain sehingga mendorong mangsa membuat bayaran sebanyak RM4,556 (S$1,457) ke akaun bank Melati bagi pembelian barangan sama.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Subang Jaya dan Shah Alam pada 28 Mei dan 24 Julai lepas mengikut Seksyen 415 KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qiwamuddin Mustapha Shakri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM15,000 (S$4,798) kepada Nurul Yasmin manakala Melati sebanyak RM3,000 (S$972) masing-masing dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 15 Nov.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan