Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu bekas menteri Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon faraid bagi harta lebih S$661 juta

 Ibu bekas menteri, Dr Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam kejadian helikopter terhempas pada 2015 memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur, bagi mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Allahyarham.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bekas menteri Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon faraid bagi harta lebih S$661 juta

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 Aug 2018 11:38PM Dikemas Kini : 30 Aug 2018 12:21AM

KUALA LUMPUR: Ibu bekas menteri, Dr Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam kejadian helikopter terhempas pada 2015 memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur, bagi mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Allahyarham yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion (S$661 juta).

Cik Aminah Abdullah, 84 tahun, selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 2 Mac lepas mengikut Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Peguam Syarie Encik Kamar Ainiah Kamaruzaman memaklumkan permohonan tersebut bagi pembahagian, penyenaraian serta menentukan bahagian-bahagian harta yang ditinggalkan bekas anggota Parlimen Rompin itu kepada waris yang berhak.

“Permohonan ini untuk mendapatkan sijil faraid ke atas harta pusaka arwah Dr Jamaludin Jarjis, ibu (Aminah) memohon untuk mendapatkan faraid dan kita sudah maklum kepada balunya, Dr Kalsom Ismail dan anak-anak.

“Harta-harta yang perlu dimasukkan adalah (anggaran) 20 ladang tanah, rumah dan tanah kosong, di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah dan syarikat-syarikat arwah. Sama ada di bawah nama arwah atau atas nama anak-anak,” katanya kepada para wartawan selepas prosiding pengurusan kes di dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi, Cik Siti Zulaiha Mohamad Mansor hari ini (29 Ogos).

Encik Kamar Ainiah memaklumkan bahawa mahkamah turut membenarkan permohonan balu dan anak-anak Allahyarham untuk menjadi pencelah dalam permohonan itu dan Aminah juga tidak membantah sekiranya ada waris lain yang mahu menjadi pencelah.

Katanya mahkamah menetapkan 13 Sept untuk pengurusan kes seterusnya.

Encik Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat meninggalkan seorang balu yang kini berusia 62 tahun dan empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan berusia antara 23 hingga 33 tahun.

Pada 4 April 2015, Encik Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima orang lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan