Ibu bapa mangsa lantai bas berlubang cadang fail saman
Sungguhpun reda dengan pemergian anaknya yang maut terjatuh dari lantai bas sekolah, ibu mangsa Cik Nik Hasmani Mohamed akan meneruskan hasrat untuk menyaman pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang berlaku pada 4 Julai lalu di Kampung Kandis, Pasir Puteh.
MACHANG: Sungguhpun reda dengan pemergian anaknya yang maut terjatuh dari lantai bas sekolah, ibu mangsa Cik Nik Hasmani Mohamed akan meneruskan hasrat untuk menyaman pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang berlaku pada 4 Julai lalu di Kampung Kandis, Pasir Puteh.
Cik Nik Hasmani, 44 tahun, berkata sehingga ke hari ini keluarga tersebut masih menunggu keputusan laporan perubatan terhadap anaknya, Allahyarham Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12 tahun.
"Saman itu kita akan failkan tetapi selepas melihat keputusan laporan yang dibuat hasil siasatan polis.
"Sekiranya berlaku kecuaian dalam kes ini sehingga mengakibatkan kematian, kami sekeluarga akan meneruskan hasrat menyaman dan melantik peguam," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Taman Desa Bakti, Machang di sini.
Atas sebab itu, Cik Nik Hasmani memohon supaya siasatan menyeluruh dijalankan dengan segera berhubung kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.
Menurutnya, beberapa pihak terbabit, antaranya penganjur iaitu Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Pendidikan Negeri yang memberi kebenaran dan syarikat pengusaha bas perlu memberi kerjasama dengan polis berhubung kes tersebut.
“Kami sabar menanti keputusan siasatan dan ingin tahu punca kejadian, masalah bas dan kenapa tiada orang dewasa yang menjadi pengiring di dalam bas ketika kejadian.
"Tindakan mahkamah terhadap pihak berkaitan perlu diambil yang bertujuan tidak mahu kejadian sama berulang sekiranya berlaku kecuaian," katanya.
Bukan tidak reda dengan pemergian satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, namun kata Cik Nik Hasmani, kehilangan atas kecuaian orang lain itulah yang mendorong mereka mengambil tindakan mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.