Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hukuman mati paling tepat untuk pengedar dadah - Pengarah Narkotik Bukit Aman

Hukuman mati adalah hukuman terbaik untuk kesalahan melibatkan pengedar dadah yang didapati bersalah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Encik Mohmad Salleh.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman mati paling tepat untuk pengedar dadah - Pengarah Narkotik Bukit Aman

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 12 Oct 2018 06:14PM Dikemas Kini : 12 Oct 2018 06:17PM

KUALA LUMPUR: Hukuman mati adalah hukuman terbaik untuk kesalahan melibatkan pengedar dadah yang didapati bersalah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Encik Mohmad Salleh.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa mencadangkan hukuman maksimum dalam kes pengedaran dadah sekiranya hukuman mati dimansuhkan.

"Secara peribadi saya berpendapat hukuman mati adalah hukuman terbaik bagi kesalahan berkenaan kerana pengedar dadah secara perlahan-lahan membunuh ramai penagih yang membeli dadah daripada mereka.

"Bagaimanapun sebagai polis, kita patuh sahaja undang-undang yang ditetapkan oleh Parlimen namun polis akan sentiasa meminta hukuman maksimum untuk pengedar dadah," katanya pada sidang media, hari ini (12 Okt).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara itu yang dilaksanakan pihak Peguam Negara.

Ahad lepas (7 Okt), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata kajian itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori yang dibuat bagi mengikut Standard Antarabangsa berkaitan Hak Asasi Manusia.

Kabinet Malaysia pula dilaporkan sudah sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati, kata seorang menteri kabinet semalam (11 Okt), satu keputusan yang disokong kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Hukuman mati di Malaysia buat masa ini satu hukuman mandatori bagi kesalahan seperti membunuh, menculik, memiliki senjata api dan pengedaran dadah. Pelaksanaan hukuman mati di Malaysia adalah menerusi teknik gantung.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengesahkan kabinet sudah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati.

"Saya harap undang-undang akan dipinda tidak lama lagi," katanya kepada AFP.
Encik Mohmad Salleh pula berkata hukuman setimpal yang boleh dikenakan terhadap pengedar dadah ialah penjara seumur hidup atau tidak kurang 15 kali sebatan sekiranya hukuman mati dimansuhkan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan