Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hukuman bertujuan mencegah bukan menghukum: Brunei

Brunei menyatakan undang-undang baru menjatuhkan hukuman mati untuk pelaku seks sejenis dan zina lebih bertujuan "mencegah daripada menghukum".

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman bertujuan mencegah bukan menghukum: Brunei

Para jemaah lelaki mengangkat wudhu sebelum solat di masjid Sultan Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan, Brunei. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Apr 2019 11:32PM Dikemas Kini : 13 Apr 2019 10:31AM

LONDON: Brunei menyatakan undang-undang baru menjatuhkan hukuman mati untuk pelaku seks sejenis dan zina lebih bertujuan "mencegah daripada menghukum". Kenyataan itu adalah respons kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengkritik langkah-langkah tersebut.

Menurut PBB, Brunei, yang sebilangan besar penduduknya Muslim melanggar hak asasi manusia pada 3 April dengan melaksanakan undang-undang Islam
yang menghukum kesalahan liwat, zina dan rogol dengan hukuman mati termasuk merejam manakala kesalahan mencuri pula dihukum menerusi pemotongan bahagian tubuh.

Bagaimanapun, Menteri Kedua Ehwal Luar Brunei Erywan Yusof mempertahankan undang-undang baru tersebut melalui sepucuk surat kepada PBB yang menyatakan langkah berkenaan lebih bertujuan untuk "mencegah dan bukan menghukum."

"Ia bertujuan untuk mendidik, menghalang, memulihkan dan bukannya menghukum," tulis Encik Erywan kepada PBB.

UNDANG-UNDANG SYARIAH SUDAH DIKUATKUASAKAN SECARA BERTAHAP-TAHAP

Dalam surat itu, Encik Erywan berkata kesalahan itu tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam di Brunei - yang menimbulkan kekecohan di media sejak negara tersebut mengumumkan pelaksanaan lebih banyak undang-undang Syariah pada Mac lalu.

Brunei, sebuah negara kecil di Asia Tenggara dengan kira-kira 400,000 penduduk, secara tetap mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Sebahagiannya mula dikuatkuasakan pada 2014 dan sejak itu terus dilaksanakan secara berperingkat.

Surat Brunei kepada PBB menyatakan "hukuman jenayah zina dan liwat adalah untuk melindungi kesucian salasilah keturunan keluarga dan perkahwinan seseorang individu mengikut Islam, terutama wanita."

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada 3 Apr, menerusi seorang jurucakap, berkata: "hak asasi manusia perlu ditegakkan untuk setiap orang di mana-mana pun tanpa sebarang bentuk diskriminasi."

"Undang-undang yang diluluskan itu dengan nyata mencabuli prinsip-prinsip yang dinyatakan," kata jurucakap beliau.

Menteri Luar Britain Jeremy Hunt berkata beliau sudah bertemu dengan Encik Erywan yang meyakinkan beliau bahawa pendakwaan ke atas seks sejenis "tidak mungkin berlaku" tetapi ia tidak mencukupi.

"Usulan (Erywan) bahawa undang-undang Syariah tidak mungkin dilaksanakan tidak boleh diterima: semua orang seharusnya bebas menjadi diri mereka dan mencintai sesiapa yang mereka mahu," kata Encik Hunt menerusi catatannya di Twitter.

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan