Images
  • syndey
    Lebih 73 milimeter hujan dicatat dalam tempoh kurang sejam di beberapa kawasan di Sydney. (Gambar: Edwin Smith/Twitter)

Hujan lebat cetus huru-hara di Sydney, penerbangan dibatalkan

SYDNEY: Penerbangan dibatalkan, laluan kereta api ditutup dan para pemandu terkandas di jalan raya yang dilanda banjir akibat hujan lebat di Sydney pada awal pagi tadi (28 Nov).

Menurut laporan Biro Kaji Cuaca tempatan, lebih 73 milimeter hujan dicatat dalam tempoh kurang sejam di beberapa kawasan di bandar tersebut.

Secara purata, bandar itu mencatat jumlah hujan sebanyak 84 milimeter bagi keseluruhan bulan November.

Para penyedia bekalan elektrik melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 3,500 terputus bekalan elektrik. Jabatan kecemasan pula menyatakan bahawa pihaknya menerima sekurang-kurangnya enam permintaan bagi operasi menyelamat akibat banjir itu, sebelum para penduduk keluar bekerja.

Jabatan kecemasan menggesa para penduduk supaya berwaspada dan jangan memandu di jalan raya yang dilanda banjir. Ia menyatakan: "Salah satu punca kematian akibat banjir adalah disebabkan oleh mereka yang memasuki tempat-tempat yang dibanjiri. Cari laluan alternatif dan jangan melakukan sebarang perjalanan jika tidak perlu."


Sementara itu, sebilangan penerbangan di lapangan antarabangsa utama di Sydney terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan buat sementara waktu sedang para kakitangan di lapangan terbang mendapatkan perlindungan daripada hujan lebat.

"Disebabkan oleh cuaca buruk hari ini, kami menjangkakan bahawa sebilangan penerbangan di terminal-terminal Antarabangsa dan Domestik akan dibatalkan atau ditangguhkan," menurut pihak berkuasa lapangan terbang.


Jumlah hujan diramalkan berkurangan namun cuaca hujan akan berterusan sepanjang hari ini (28 Nov).

- AFP/AI/ai

Top