Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hujan lebat, banjir kilat di M'sia paksa lebih 1,000 penduduk dipindahkan

Hujan lebat di lima negeri mengakibatkan lebih 1,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dilanda banjir.

Anggaran Waktu Membaca:
Hujan lebat, banjir kilat di M'sia paksa lebih 1,000 penduduk dipindahkan

Beberapa perkampungan di Kedah dilanda banjir kilat menyusuli hujan lebat pada 20 Okt 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Oct 2021 06:00PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 09:32AM

KUALA LUMPUR: Hujan lebat di lima negeri mengakibatkan lebih 1,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dilanda banjir.

Di Melaka, seramai 590 orang daripada 155 keluarga di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah ditempatkan di sembilan PPS pagi ini (21 Okt) berbanding 493 orang daripada 130 keluarga tengah malam tadi.

Di Selangor, 267 orang ditempatkan di empat PPS setakat 5.30 pagi tadi selepas sembilan kawasan di Sepang, Salak Tinggi and Shah Alam mengalami banjir kilat menyusuli hujan lebat sejak petang semalam.

Sekitar 200 penduduk yang dipindahkan ke sebuah PPS di Sepang perlu menjalani ujian pemeriksaan COVID-19 setelah seorang mangsa didapati positif koronavirus, lapor Berita Harian Malaysia.

Di Kedah, 162 orang daripada 39 keluarga di Kuala Muda, Sungai Petani ditempatkan di tiga PPS setakat 8.00 pagi tadi iaitu di Dewan Kampung Bukit Belah, Surau Taman Kenari serta Masjid Al-Huda di Kampung Jerung.

Di Negeri Sembilan, sebuah PPS di Balai Raya Kampung Permatang Pasir, Port Dickson, dibuka pada 11.35 malam tadi bagi menempatkan 25 orang penduduk dari kawasan Pusat Darul Widad.

Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor dalam kenyataan berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Said, Nilai, masih beroperasi bagi menempatkan sembilan orang dari Kampung Tanjung, manakala lima orang dari Kampung Pedas, Rembau, pula dipindahkan ke kediaman keluarga terdekat.

Di Perak, hujan lebat berterusan menyebabkan 14 orang daripada tiga keluarga di Kampung Sungai Temelok, Taiping dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Temelok ekoran banjir kilat melanda kawasan itu awal pagi tadi.

Sumber : Bernama/Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan