Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hubungan ekonomi S'pura-M'sia 'baik', kata Darell

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Darell Leiking menyifatkan hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Singapura sebagai "baik".

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan ekonomi S'pura-M'sia 'baik', kata Darell

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Darell Leiking (Gambar: Facebook/Darell Leiking)

Diterbitkan : 29 Aug 2018 09:05PM Dikemas Kini : 29 Aug 2018 09:15PM

SINGAPURA: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Darell Leiking menyifatkan hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Singapura sebagai "baik".

Encik Darell berkata isu berhubung Perjanjian Air 1962 dan Kereta Api Laju (HSR) tidak mungkin menjejas hubungan yang sudah lama terjalin.

"Kepercayaan dan keakraban antara kami sentiasa wujud. Singapura sangat menyedari yang Malaysia sedang melalui tempoh yang sukar. Kami mempunyai salah pengurusan fiskal," ujar beliau kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-50 serta Mesyuarat Berkaitan di Singapura hari ini (29 Ogos).

Beliau berkata seperti China, Singapura juga tahu bahawa "kami sedang menyusun semula pengurusan fiskal kami.

"Lagipun, bagaimana kami mahu menjalankan beberapa projek yang akan membebankan negara kami?" katanya.

Semalam (28 Ogos), Encik Darell bertemu dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Encik Chan Chun Sing.

Encik Darell berkata Encik Chan melahirkan harapan agar kerajaan baru Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Singapura.

"Kami akan dapat tangani sebarang masalah kecil, jika ada. Kami tidak pernah tumpukan kepada masalah. Kami beri tumpuan kepada usaha mencari huraian-huraiannya," tegas beliau.

Encik Darell sedang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat AEM dan Mesyuarat Berkaitan di Singapura selama lima hari hingga 1 September.

Sempena mesyuarat tersebut, Encik Darell, yang berulang kali menyuarakan kebimbangan bahawa beliau terpaksa meninggalkan mesyuarat Kabinet mingguannya, juga akan mengadakan lawatan kerja ke Singapura.

Dalam lawatan itu, jadual yang padat sudah disusun untuknya, termasuk siri perbincangan dan sesi menjalin rangkaian bersama ahli ekonomi, bakal pelabur, dewan perniagaan tempatan dan asing serta diaspora dan syarikat-syarikat Malaysia.

"Kami telah bertemu dengan majlis dan dewan-dewan perniagaan yang memberi jaminan bahawa mereka akan terus melabur di Malaysia ... mereka akan menambah lebih banyak pelaburan di Malaysia.

"Di pihak kami, kami memberi jaminan kepada mereka bahawa kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi sebarang halangan yang dihadapi mereka dan membantu mereka mengurangkan sebarang birokrasi yang mungkin ada," katanya.

Encik Darell percaya bahawa pelabur asing mula melihat bahawa kerajaan baru serius untuk "menghidupkan dan membina semula" negara.

"Kami mahu menghapuskan rasa sangsi dan curiga yang mereka ada selama ini," katanya, sambil menambah bahawa usaha Malaysia yang baru yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah mula membuahkan hasil dengan keyakinan yang semakin mendalam daripada golongan tersebut.

Menyentuh tentang Mesyuarat AEM dan Mesyuarat Berkaitan yang pertama beliau hadiri, Encik Darell berkata bahawa ada beberapa dasar yang akan diteliti semula jika ia bertentangan dengan aspirasi-aspirasi pentadbiran sedia ada.

"Yang penting, dasar itu mesti mengutamakan rakyat dan kedaulatan Malaysia mesti dilindungi," katanya sambil menambah bahawa "kita tidak bertolak ansur berhubung kedaulatan Malaysia."

"Walaupun ada sesetengah pihak yang berkata ini berpatah balik dari dasar (yang ada), bagi kami, ia bukan berpatah balik jika ia adalah untuk kepentingan rakyat," katanya.

Encik Darell menyatakan bahawa ia akan merangkumi apa yang sudah dipersetujui oleh kerajaan sebelumnya dalam rundingan berterusan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Beliau mengambil alih jawatannya sekarang pada 2 Julai di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lalu yang sekaligus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 60 tahun.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan