Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hospital Syria hampir sarat akibat lonjakan kes COVID-19

Hospital di Damsyik, ibu kota Syria, dan wilayah Latakia mencecah kapasiti penuh berikutan lonjakan kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital, kata seorang pegawai kesihatan pada Ahad.

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Syria hampir sarat akibat lonjakan kes COVID-19

Warga Syria kelihatan berjalan di Damsyik pada 23 Sep 201 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Sep 2021 09:05PM Dikemas Kini : 26 Sep 2021 09:09PM

DAMSYIK: Hospital di Damsyik, ibu kota Syria, dan wilayah Latakia mencecah kapasiti penuh berikutan lonjakan kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital, kata seorang pegawai kesihatan pada Ahad.

"Kami sudah mula memindahkan pesakit COVID-19 dari wilayah Damsyik ke wilayah (pusat) Homs, dan dari Latakia ke wilayah Tartus," kata Tawfiq Hasaba, seorang pegawai kementerian kesihatan, seperti dilaporkan oleh media TV rasmi Syria.

Langkah itu diambil setelah "hospital di daerah-daerah ini mencapai kapasiti penuh ekoran lonjakan besar kes koronavirus," tambahnya.

Syria pada Sabtu melaporkan 442 jangkitan baru koronavirus di kawasan yang dikuasai pemerintah - rekod harian baru buat negara yang dilanda konflik. Negara itu telah merakamkan lebih 32,580 kes, termasuk 2,198 kematian di wilayah yang dikuasai pemerintah, sejak awal pandemik itu tahun lalu.

"Ini adalah pertama kalinya jumlah kes mencapai 400" dalam sehari, kata Encik Hasaba, sambil menambah bahawa jumlah jangkitan baru paling tinggi dicatat di Damsyik, Aleppo dan Latakia.

Kes COVID-19 meningkat di seluruh Syria sejak pertengahan Ogos, termasuk di wilayah barat laut dan timur laut, kawasan yang berada di luar kawalan pemerintah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya dua peratus penduduk Syria yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Konflik Syria yang berlaku sejak 2011 mengorbankan hampir setengah juta orang dan meranapkan sektor kesihatan yang bergelut untuk mengatasi aliran keluar karyawan.

Sekitar 70 peratus kakitangan perubatan negara itu telah melarikan diri sejak bermulanya perang.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan