Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hospital baru di Cox's Bazar bantu 140,000 pelarian Rohingya

Sebuah hospital baru yang dilengkapi dengan 100 katil akan dibuka di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh bagi memudahkan 140,000 pelarian Rohingya dari kem Kutupalong.

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital baru di Cox's Bazar bantu 140,000 pelarian Rohingya

Sebuah hospital baru yang dilengkapi dengan 100 katil akan dibuka di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Nov 2018 10:52PM Dikemas Kini : 15 Nov 2018 10:55PM

BANGLADESH: Sebuah hospital baru yang dilengkapi dengan 100 katil akan dibuka di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh bagi memudahkan 140,000 pelarian Rohingya dari kem Kutupalong.

Pusat perubatan yang beroperasi 24 jam itu dibina dan diuruskan oleh Médecins Sans Frontières (MSF) – Doctors without Borders – dengan sokongan sebuah pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang berpangkalan di Sharjah, Yayasan The Big Heart atau The Big Heart Foundation (TBHF), yang menyasarkan untuk merawat 7,200 pesakit dalam tahun pertama operasinya.

Menurut satu kenyataan, Sheikh Sultan Ahmed Al Qasimi, iaitu duta kemanusiaan yayasan itu dan pengerusi Sharjah Media Corporation (SMC), melancarkan hospital berkenaan baru-baru ini.

“Hospital itu mencerminkan hubungan kemanusiaan yang baik antara rakyat Amiriah Arab Bersatu (UAE) dengan masyarakat dunia,” katanya.

Projek hospital itu disokong dengan sumbangan dana sebanyak AED 3 juta (S$1.12 juta) dari SMC menerusi inisiatif kutipan derma awam bagi projek-projek penjagaan kesihatan. Ia turut menyumbangkan bantuan yang amat diperlukan bagi meringankan beban pelarian Rohingya, temasuk wanita yang hamil, bayi dan kanak-kanak kecil.

Hospital tersebut dibekalkan dengan peralatan unit rawatan rapi, wad pediatrik dan wad bersalin, selain peralatan untuk jabatan pesakit luar, termasuk khidmat sokongan untuk mangsa-mangsa penderaan seksual.

Hospital itu turut memiliki kemudahan sistem rawatan air untuk kegunaan penduduk sekitarnya, yang dilengkapi dengan sistem amaran berteknologi tinggi bagi mengesan penyakit berjangkit dan untuk bertindak menghadapi serta mengawal wabak penyakit.

Menurut kenyataan itu, selepas lebih setahun krisis di Cox’s Bazar, jumlah pelarian Rohingya mencecah hampir sejuta orang.

Kebanjiran pelarian dan kekurangan sumber-sumber di daerah Cox’s Bazar mewujudkan keadaan kecemasan dari segi kemanusiaan, di luar kemampuan sistem dan masyarakat setempat untuk menanganinya.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan