Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hong Kong lapor 76 kes baru COVID-19, perketat perhimpunan awam

Pihak berkuasa pada Isnin (30 Nov) menguatkuasakan semula langkah jarak selamat yang ketat bertujuan untuk membendung penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Hong Kong lapor 76 kes baru COVID-19, perketat perhimpunan awam

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 30 Nov 2020 10:06PM Dikemas Kini : 30 Nov 2020 10:09PM

HONG KONG: Pihak berkuasa pada Isnin (30 Nov) menguatkuasakan semula langkah jarak selamat yang ketat bertujuan untuk membendung penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Sekatan ke atas perhimpunan awam diperketatkan dengan tidak lebih daripada dua orang dibenarkan untuk bertemu, berbanding empat sebelum ini manakala kebanyakan kakitangan perkhidmatan awam diminta bekerja dari rumah.

Langkah-langkah itu tambahan kepada sekatan yang diumumkan pada Ahad yang mana semua sekolah, bar dan kelab malam sudah diarahkan tutup.

Bagaimanapun sekatan baru itu kini turut merangkumi kolam renang dan kebanyakan tempat hiburan lain seperti karaoke, taman hiburan dan rumah mahjong.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, berkata sekatan baru akan berkuat kuasa Rabu ini dengan seramai 170,000 kakitangan awam akan bekerja dari rumah kecuali mereka yang menyediakan perkhidmatan kecemasan.

"Dua minggu ini amat kritikal dan saya berharap penduduk Hong Kong terus bertahan," kata Cik Lam.

Hab kewangan itu mengekalkan sekatan ke atas perhimpunan dalam jumlah yang besar sepanjang tahun ini dan menutup pelbagai industri apabila kes meningkat.

Langkah tersebut membantu mencegah penularan meluas penyakit tersebut di bandar yang mempunyai 7.5 juta penduduk.

Bagaimanapun, jangkitan harian meningkat melebihi 100 kes sejak beberapa hari kebelakangan ini, mendorong pihak berkuasa melaksanakan langkah yang lebih ketat, sama seperti ketika penularan virus itu pada peringkat awal.

Cik Lam mengumumkan 76 kes baru COVID-19 pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan di bandar itu kepada lebih 6,300 sejak pandemik tersebut bermula.

40 daripada kes terbaru itu terkait dengan kelab-kelab tarian.

Cik Lam berkata pihak berkuasa merancang untuk menggandakan denda kepada HK$4,000 (S$690) dan akan melancarkan talian hotline untuk penduduk melaporkan sebarang pelanggaran sekatan baru tersebut.

Lonjakan kes baru itu juga menyebabkan aturan perjalanan udara antara Hong Kong dengan Singapura ditunda sekurang-kurangnya dua minggu daripada jadual awal pada 22 Nov.

Sumber : Reuters/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan