Images
  • hk protest clear street
    Gambar fail jalan raya di Hong Kong selepas tunjuk perasaan pada Ogos 2019 (Gambar: Reuters)

Hong Kong bersedia untuk lebih banyak bantahan selepas keganasan hujung minggu

HONG KONG: Stesen kereta api metro di Hong Kong menyambung semula khidmatnya seperti biasa pada Isnin (12 Ogos) sedang jalan-jalan dibersihkan selepas bandar itu menyaksikan satu lagi pertempuran antara para penunjuk perasaan antipemerintah dengan pihak polis, dengan lebih banyak bantahan dijangkakan minggu ini.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan merata wilayah itu pada Ahad dan menggunakan belantan di tempat-tempat pertempuran di kawasan tengah bandar dan perniagaan Hong Kong.

Para penunjuk perasaan pula melontarkan dua bom minyak buatan sendiri, yang menurut polis mengakibatkan seorang pegawai cedera. Mereka turut menggunakan strategi 'flash mob', dengan berundur apabila menghadapi tekanan polis namun kemudian berhimpun di kawasan lain.

Pihak polis turut menyerbu stesen kereta api bawah tanah dan melepaskan gas pemedih mata dan menahan beberapa penunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan itu menghadang laluan jalan raya di kawasan-kawasan beli-belah dan komersil utama selain mengakibatkan kemudahan awam di hab perniagaan Asia itu ditutup.

Pihak polis sudah memberkas lebih 600 orang sejak tunjuk perasaan bermula lebih dua bulan lalu.

Tunjuk perasaan yang semakin mengganas sejak Jun disifatkan sebagai krisis paling serius dihadapi Hong Kong sejak berdekad-dekad lamanya dan salah satu cabaran terbesar dihadapi pemimpin China Xi Jinping sejak memegang kuasa pada 2012.

Apa yang bermula sebagai tentangan terhadap rang undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke China kini berubah menjadi gerakan yang menuntut demokrasi lebih luas di Hong Kong.

Para penunjuk perasaan berkata mereka sedang berjuang menentang kehakisan dasar "satu negara, dua sistem" yang merupakan asas autonomi bagi Hong Kong apabila ia dikembalikan kepada China pada 1997. Mereka menyeru agar pemerintah mendengar tuntutan awam, terutamanya bagi mengadakan siasatan bebas terhadap cara tunjuk perasaan ditangani pihak berkuasa.

Beijing menyatakan penjenayah dan pihak-pihak yang mengapi-apikan keganasan itu didorong oleh "campur tangan" kuasa asing termasuk Britain. Namun, tunjuk perasaan tersebut kelihatannya mendapat sokongan meluas di bandar yang mempunyai lebih 7 juta penduduk itu.

- Reuters/TQ/tq

Top