Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hong Kong batalkan semua penerbangan angkara bantahan

Pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong membatalkan kesemua baki penerbangan keluar dan masuk di hab perjalanan utama negara itu pada Isnin (12 Ogos) setelah ribuan penunjuk perasaan membanjiri dewan ketibaan untuk mengadakan bantahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Aug 2019 08:05PM Dikemas Kini : 12 Aug 2019 10:14PM

HONG KONG: Pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong membatalkan kesemua baki penerbangan keluar dan masuk di hab perjalanan utama negara itu pada Isnin (12 Ogos) setelah ribuan penunjuk perasaan membanjiri dewan ketibaan untuk mengadakan bantahan.

"Selain penerbangan pelepasan yang selesai melakukan proses daftar masuk pesawat serta penerbangan ketibaan yang sudahpun dalam perjalan menuju ke Hong Kong, kesemua penerbangan lain dibatalkan buat hari ini," menurut pihak berkuasa lapangan terbang dalam satu kenyataan.

Keputusan itu dilakukan setelah ribuan penunjuk perasaan yang menyokong demokrasi menyesakkan lapangan terbang sambil memegang sepanduk yang bertulis "Hong Kong tidak selamat" dan "Malu pada polis".

Menurut kenyataan tersebut: "Operasi lapangan terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong mengalami gangguan serius akibat perhimpunan orang awam di lapangan terbang hari ini".

Ia memberi amaran bahawa keadaan lalu lintas menghala ke lapangan terbang "amat sesak" dan kemudahan di tempat letak kereta juga sudah penuh.

Menurut polis Hong Kong, lebih 5,000 penunjuk perasaan berhimpun di lapangan terbang tersebut pada Isnin.

Para penunjuk perasaan berhimpun di dewan ketibaan Lapangan Terbangan Antarabangsa Hong Kong pada 12 Ogos 2019. (Gambar: Reuters) 

Dalam satu nasihat perjalanan, syarikat-syarikat penerbangan Hong Kong - Cathay Pacific dan Cathay Dragon - menggesa para pelanggannya supaya tidak membuat perjalanan ke lapangan terbang. Mereka juga dinasihatkan supaya menunda perjalanan yang tidak mustahak.

Laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong menunjukkan kesemua penerbangan pelepasan yang dijadualkan berangkat mulai jam 6.00 petang waktu tempatan sudahpun dibatalkan.

Ini termasuk penerbangan Singapore Airlines SQ865 ke Singapura, Cathay Pacific CX890 ke New York, AirAsia AK137 ke Kuala Lumpur dan China Eastern Airlines MU8981 ke Shanghai.

Dalam kenyataannya, pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong menyatakan Pusat Kecemasan Lapangan Terbang sudahpun diaktifkan.

"Para penumpang yang terjejas dinasihati supaya memberi perhatian kepada maklumat penerbangan terkini melalui laman web lapangan terbang berkenaan dan aplikasi mudah alih 'HKG My Flight'." 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan