Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hindari berita palsu pada musim pilihan raya ini, tegas PM Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa kerajaan Malaysia terbuka untuk menerima kritikan namun ia tidak harus menjurus kepada penyebaran berita tidak benar mengenai kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hindari berita palsu pada musim pilihan raya ini, tegas PM Najib

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 12 Apr 2018 07:51AM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 07:53AM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa kerajaan Malaysia terbuka untuk menerima kritikan namun ia tidak harus menjurus kepada penyebaran berita tidak benar mengenai kerajaan.

Perdana Menteri Malaysia itu menambah bahawa sikap keterbukaan kerajaan terhadap kritikan adalah penting dalam membangunkan sebuah demokrasi yang matang.

"Kita nak bangunkan sebuah demokrasi yang matang. Kita boleh kritik kerajaan tapi jangan sebar berita yang tidak benar (mengenai kerajaan)," tegasnya.

Merujuk kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, PM Najib menekankan bahawa pertandingan PRU14 harus dilakukan secara matang.

"Bertanding sebagai ‘anak jantan’. Jangan bertanding secara tidak adil," katanya ketika melancarkan sambutan julung kali Hari Wartawan Nasional 2017/2018 semalam (11 Apr).

Beliau menarik perhatian bahawa pada pilihan raya umum yang lalu, Barisan Nasional menjadi mangsa berita palsu contohnya berhubung kehadiran 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh dan insiden 'black out' semasa pengiraan undi.

“Jika perkara itu benar, ia memerlukan bilangan pesawat jumbo 747 yang banyak untuk membawa mereka ke Malaysia.

“Walaupun tiada sesiapapun yang menyaksikan perkara itu berlaku, namun ramai yang telah memilih untuk mempercayai berita tersebut, termasuk mereka yang kononnya golongan urban intelek”, kata PM Najib.

Namun, beliau menjangkakan bahawa penyebaran berita palsu akan terus berlaku pada pilihan raya umum kali ini.

"Mudah-mudahan tak berlaku perkara seperti ini pada PRU14 tetapi saya tidak begitu optimis. Mesti ada cerita.

"Apatah lagi dalam sehari dua lagi kita akan berada dalam 'silly season'. Jadi bila ‘silly season’ banyaklah cerita yang tak berasas, kadang-kadang cerita yang tak masuk akal tapi bila disebar ia ditelan bulat-bulat," ujarnya.

Mengulas lanjut, PM Najib berkata bahawa sistem pilihan raya di Malaysia sudah terbukti kesahihannya dan tidak mungkin penipuan boleh dilakukan.

Menurut beliau, ini kerana pembangkang juga menempatkan wakil masing-masing di setiap pusat mengundi bagi memantau proses tersebut dan memastikan tiada individu yang tidak berhak mengundi dibenarkan berbuat demikian.

Beliau turut berharap pengamal media di Malaysia memainkan peranan dalam mencari kebenaran dan menyebarkan berita yang benar. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan