Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hina Nabi serta hina kematian Muhammad Adib, penjaja dipenjara 30 bulan

Akibat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di media sosial, seorang penjaja hari ini (6 Ogos) dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Hina Nabi serta hina kematian Muhammad Adib, penjaja dipenjara 30 bulan

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 06 Aug 2019 07:30PM Dikemas Kini : 06 Aug 2019 07:33PM

KUALA LUMPUR: Akibat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di media sosial, seorang penjaja hari ini (6 Ogos) dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai, 43 tahun, selepas dia mengaku bersalah ke atas kelapan-lapan pertuduhan yang dihadapinya pada 18 Jun lepas dan hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman.

Hakim Edwin sebelum menjatuhkan hukuman berkata mahkamah tidak boleh menerima perbuatan tertuduh yang memberi pelbagai komen negatif terhadap agama orang lain.

"Tindakan tertuduh menghina kematian Muhammad Adib dikala semua orang sedang meratapi dan berkabung di atas kematiannya juga tidak dapat diterima oleh mahkamah.

"Perbuatan dilakukan tertuduh adalah melampau dan melebihi had kebebasan bersuara," kata Hakim Edwin yang turut memaklumkan perbuatan dilakukan tertuduh adalah dirancang kerana komen berkenaan dibuat berulang kali.

Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil 'Alvin@Alvin15358333', membuat kenyataan berhubung kematian Muhammad Adib, yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu pada pukul 8.07 pagi, 13 Feb lepas, mengikut Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW, yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam, di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat sama. 

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut  Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 (S$16,500) atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 (S$330) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan