Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hezbollah beri amaran kepada AS: Iran boleh 'lenyapkan Israel' jika perang tercetus

Pemimpin kumpulan Hezbollah di Lubnan yang disokong Iran, memberi amaran pada Jumaat (12 Jul) bahawa Israel "tidak akan terlepas" jika peperangan tercetus antara Amerika Syarikat dengan Iran. Israel merupakan sekutu Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Hezbollah beri amaran kepada AS: Iran boleh 'lenyapkan Israel' jika perang tercetus

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Jul 2019 10:20PM Dikemas Kini : 14 Jul 2019 10:22PM

BEIRUT: Pemimpin kumpulan Hezbollah di Lubnan yang disokong Iran, memberi amaran pada Jumaat (12 Jul) bahawa Israel "tidak akan terlepas" jika peperangan tercetus antara Amerika Syarikat dengan Iran. Israel merupakan sekutu Amerika Syarikat.

"Siapa kata Israel akan terlepas jika satu peperangan berlaku terhadap Iran?" kata Hassan Nasrallah dalam sebuah wawancara yang disiarkan di televisyen Al-Manar Hezbollah.

"Yang pertama untuk mengebom Israel ialah Iran," kata ketua Syiah Lubnan itu.

"Iran mampu membedil Israel dengan ganas dan keras," kata Encik Nasrallah.

Tetapi, beliau menambah bahawa "Iran tidak akan memulakan peperangan dan saya tidak rasa Amerika Syarikat akan berperang dengan Iran".

Kenyataan Nasrallah dibuat setelah ketegangan meningkat buat bermingu-minggu lamanya antara Washington dengan Tehran dan ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melancarkan perang mulut ke atas Republik Islam itu.

"Apabila warga Amerika faham bahawa perang ini boleh melenyapkan seluruh Israel, mereka akan pertimbangkan semula," kata Nasrallah.

"Tanggungjawab bersama kami di rantau ini adalah untuk berusaha mencegah perang Amerika ke atas Iran," tegas beliau.

Encik Nasrallah mengatakan baik Arab Saudi mahupun Amiriah Arab Bersatu (UAE) tidak mempunyai kepentingan dalam konflik yang bakal tercetus.

Pada Jumaat, Dewan Perwakilan AS membuat undian bagi membendung keupayaan Trump untuk menyerang Iran sambil menyuarakan kebimbangan bahawa dasar-dasar agresifnya boleh mendorong perang yang tidak perlu untuk berlaku.

Hezbollah dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan ia adalah satu-satunya kumpulan yang tidak melucutkan senjata selepas perang saudara dari 1975 hingga 1990 di Lubnan.

Bagaimanapun, ia juga merupakan pemain politik utama di Lubnan dan meraih 13 kerusi di parlimen tahun lalu serta memegang tiga jawatan dalam kabinet sekarang.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan