Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hasrat Nora Anne lihat air terjun jadi petunjuk penemuannya

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragis bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Aug 2019 08:30AM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 10:20PM

KUALA LUMPUR: Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragis bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Menurut laporan akhbar Daily Mail, hasrat Nora Anne untuk mengunjungi sebuah air terjun memberi petunjuk kepada pasukan mencari dan menyelamat untuk mencari gadis itu di kawasan berkenaan, walaupun operasi itu sudahpun dijalankan di kawasan tersebut sebelum ini.

"Kami dengar bahawa dia (Nora Anne) sangat teruja untuk melihat air terjun apabila dia sampai ke resort.

"Kami mencarinya di kawasan itu dan menuruti aliran sungai," kata Shirley Yap, seorang sukarelewan dari Kelab Mendaki Seremban, kepada Daily Mail Online.

Anak istimewa berusia 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian selama dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

Mayat remaja Ireland itu ditemui 10 hari selepas beliau dilaporkan hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, menurut laporan Bernama.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5 kilometer dari resort The Dusun - kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini sudah beberapa kali dilalui oleh kumpulan SAR.

Kurang 24 jam sebelum mayat Nora Anne ditemui, ibu bapanya mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 (S$16,540) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Usaha mencari Nora Anne mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak gadis tersebut dilaporkan hilang.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di Malaysia sejak minggu lalu bagi membantu siasatan bagi kes kehilangan remaja tersebut.

Bedah siasat mayat remaja itu akan dilakukan pagi ini (14 Ogos) oleh Ahli Patologi Kanan dari Kuala Lumpur. 

Sumber : Bernama/Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan