Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harimau Malaya yang berkeliaran di Johor ditemui mati

Seekor Harimau Malaya yang dilihat berkeliaran di Ladang Aramijaya, Mersing, Johor dengan kelibat haiwan itu tular dalam media sosial ditemui mati pada Rabu (4 Mac) di sebuah bukit dalam kawasan ladang itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Harimau Malaya yang berkeliaran di Johor ditemui mati

(Gambar: Petikan skrin media sosial)

Diterbitkan : 05 Mar 2020 08:09PM Dikemas Kini : 05 Mar 2020 08:18PM

KUALA LUMPUR: Seekor Harimau Malaya yang dilihat berkeliaran di Ladang Aramijaya, Mersing, Johor dengan kelibat haiwan itu tular dalam media sosial ditemui mati pada Rabu (4 Mac) di sebuah bukit dalam kawasan ladang itu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) berkata, pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Mersing yang menjejaki haiwan itu dimaklumkan penemuan bangkai harimau pada 12.30 tengah hari semalam oleh pengurus ladang.

“Hasil siasatan awal Perhilitan mendapati Harimau Malaya itu dipercayai telah mati dua hingga tiga hari lepas berdasarkan keadaan bangkainya yang mula mereput dengan siasatan awal tidak menemui sebarang kesan harimau ini mati ditembak, dijerat atau disebabkan oleh apa-apa perbuatan khianat yang lain.

“Pihak Perhilitan percaya punca kematian Harimau Malaya ini berkemungkinan disebabkan penyakit ‘Canine Distemper’ iaitu sama seperti penyakit yang dialami ‘Awang Besul’ (harimau belang) di Terengganu pada Julai 2019,” menurut kenyataan itu.

Doktor Veterinar Perhilitan akan menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian harimau itu.

Pada 1 Mac lepas, Perhilitan Negeri Johor menerima aduan daripada orang awam mengenai seekor Harimau Malaya dilihat merayau dalam kawasan Ladang Site 15, Ladang Aramijaya, Mersing, Johor.

Video mengenai harimau itu tular dalam media sosial serta mendapat liputan akhbar tempatan.

Sepasukan kakitangan Perhilitan Mersing ditugaskan untuk mengawal kawasan ladang serta menyiasat kawasan persekitaran bagi mengambil tindakan susulan iaitu untuk menangkap dan memindahkan harimau ke tempat yang lebih selamat.

Operasi itu turut mendapat bantuan teknikal kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) bagi tujuan pemasangan perangkap.

KATS meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Harimau Malaya untuk terus menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan