Images
  • minyak
    (Gambar hiasan: Reuters)

Harga minyak merosot ekoran kebimbangan jangkaan permintaan

SEOUL: Harga minyak jatuh pada Isnin (12 Ogos) disebabkan kelembapan ekonomi dan kebimbangan berhubung perang dagangan antara China dengan Amerika Syarikat (AS), yang menurunkan ramalan permintaan bagi minyak.

Penanda aras hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada harga AS$58.25 setong pada 0007 GMT (8.07 waktu Singapura), susut 28 sen atau 0.5 peratus berbanding harga dagangan sebelumnya.

Dagangan hadapan U.S West Texas Intermediate (WTI) pula diperdagangkan pada AS$54.28 setong, turun 22 sen atau 0.4 peratus berbanding dagangan terakhir.

Kedua-dua penanda aras merosot minggu lalu, dengan Brent jatuh lebih 5 peratus dan WTI susut sekitar 2 peratus.

"Harga minyak merosot pada permulaan minggu dagangan kerana unjuran permintaan lebih rendah yang diterbitkan minggu lalu dan sikap pesimis tentang perjanjian dagangan Amerika Syarikat-China," menurut penganalisis kanan pasaran Oanda, Alfonso Esparza.

Pertikaian perdagangan AS-China menggegarkan pasaran ekuiti sejagat minggu lalu, manakala peningkatan bekalan minyak mentah Amerika Syarikat yang tidak dijangkakan terus menyebabkan harga minyak mentah merosot setelah mengalami kemerosotan lebih 20 peratus sejak mencatat harga tertinggi tahun ini pada April.

Tanda-tanda kelembapan ekonomi dan ketegangan dagangan AS-China yang semakin memuncak menyebabkan permintaan minyak sedunia tumbuh pada kadar paling perlahan sejak krisis kewangan 2008, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat.

Agensi berpangkalan di Paris itu menurunkan jangkaan peningkatan permintaan minyak global bagi tahun tahun 2019 dan 2020, masing-masing kepada 1.1 juta dan 1.3 juta tong sehari.

- Reuters/TQ/tq

Top