Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hanya Menteri Kewangan akan keluarkan kenyataan status projek Laluan Rel Pantai Timur - Dr Mahathir

Status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada diteruskan atau sebaliknya akan dimaklumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya Menteri Kewangan akan keluarkan kenyataan status projek Laluan Rel Pantai Timur - Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)

Diterbitkan : 29 Jan 2019 09:27AM Dikemas Kini : 29 Jan 2019 09:29AM

PUTRAJAYA: Status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada diteruskan atau sebaliknya akan dimaklumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tunggu kenyataan Encik Lim Guan Eng. Harap semua sabar," katanya ditanya pemberita mengenai status projek ECRL itu selepas menghadiri taklimat tertutup bersama peneraju badan berkanun sempena Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan semalam (28 Jan).

Ditanya sama ada satu keputusan sudah dibuat kerajaan mengenai projek berkenaan, Dr Mahathir mengulangi bahawa semua maklumat mengenainya akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan itu.

Ditanya berkenaan kenyataan berbeza yang dikeluarkan mengenai projek ECRL itu sebelum ini, Dr Mahathir berkata semua orang membuat silap dan ia dilihat besar pada mata masyarakat.

"Kadang-kadang semua orang buat silap. Walaupun kita buat silap kecil namun, ia dilihat begitu besar hanya kerana kami sebuah kerajaan baharu," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menafikan penyebaran surat yang menggunakan kepala surat kerajaan berhubung projek berkenaan.

"Sekarang ini, semua orang boleh ambil surat kerajaan dan letak kepala surat kerajaan.. itu bukan rasmi," katanya.

Encik Lim pada Ahad (27 Jan) dilaporkan berkata segala kenyataan rasmi berhubung projek ECRL akan dibuat minggu ini.

Menurut Encik Lim, perkara itu amat sensitif kerana ia membabitkan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan pelbagai pihak lain.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Encik Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilapor mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL, dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Khamis lepas. Encik Lim kemudian dilaporkan terkejut dengan kenyataan Encik Azmin itu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan