Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hanya keluarga terdekat, peguam hadir pengebumian Morsi

Jenazah Presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, Encik Mohamed Morsi, dikebumikan pada awal Selasa (18 Jun). Upacara pengebumian Allahyarham hanya dihadiri anggota keluarga terdekat dan peguamnya, lapor agensi berita Anadolu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya keluarga terdekat, peguam hadir pengebumian Morsi

Mantan Presiden Mesir Mohamed Morsi semasa dihadapkan ke mahkamah. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 19 Jun 2019 08:49AM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 09:02AM

KAHERAH: Jenazah Presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, Encik Mohamed Morsi, dikebumikan pada awal Selasa (18 Jun). Upacara pengebumian Allahyarham hanya dihadiri anggota keluarga terdekat dan peguamnya, lapor agensi berita Anadolu.

Encik Morsi, yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Isnin ketika perbicaraan kesnya di mahkamah, dikebumikan pada sekitar 5.00 pagi (11.00 pagi waktu Singapura) di bandar Nasr, timur Kaherah, dengan kawalan ketat, menurut sumber yang enggan dinamakan.

Menurut sumber itu, hanya abang, anak, isteri serta dua peguam Allahyarham dilihat hadir semasa pengebumian jenazah, lapor Bernama.

Sebelum itu, menurut Bernama, pihak berkuasa Mesir menolak permintaan keluarga Morsi untuk jasadnya disemadikan di kampung halamannya di wilayah Sharqia, kata anaknya, Abdullah Mohamed Morsi kepada Reuters pada Isnin.

Pada awal Isnin, pendakwa raya Mesir Nabil Sadek berkata pemimpin berusia 67 tahun itu rebah dan segera dikejarkan ke hospital, di mana beliau disahkan meninggal dunia. Tiada tanda kecederaan dikesan pada tubuhnya.

Encik Morsi dikenakan dengan pelbagai tuduhan sejak beliau diguling dan dipenjarakan dalam rampasan kuasa tentera pada 2013, yang dipimpin Presiden Abdel-Fattah al-Sisi.

Encik Morsi menghadapi enam tuduhan termasuk "melarikan diri dari penjara, melakukan pembunuhan, mengintip untuk Qatar, mengintip untuk Hamas dan Hezbollah, menghina badan kehakiman dan pelibatan dalam keganasan."

Menurut keluarganya, Encik Morsi menghidap penyakit kencing manis serta buah pinggang dan tidak diberikan rawatan perubatan sewajarnya.

Amnesty International mendakwa dalam tempoh enam tahun ditahan, beliau telah diasingkan dari dunia luar dan hanya tiga lawatan keluarga dibenarkan, selain dihalang mendapat akses kepada peguam atau doktor.

Turki menjadi negara pertama memberikan kenyataan berhubung kematian Encik Morsi. Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan pemergian pemimpin itu sebagai "satu perjuangan" dan sejarah tidak sama sekali akan melupakan bagaimana beliau ditindas hingga ke hujung nyawa.

Kementerian Ehwal Luar Turki menyatakan Encik Morsi akan dikenang sebagai "manusia luar biasa yang berjuang untuk negara demokrasi".

Solat jenazah ghaib diadakan di masjid di seluruh Turki pada Selasa.

Amir Qatar Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani turut merakamkan ucapan takziah dan rasa sedihnya atas berita pemergian itu.

Menurut laporan Bernama, Ikhwanul Al Muslimin dalam kenyataannya mendakwa kematian Encik Morsi adalah "satu pembunuhan" dan menyalahkan pemerintah Mesir kerana menahan dan menghalang beliau mendapat rawatan.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin secara rasmi dituduh sebagai "organisasi pengganas" di Mesir. 

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan