Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hanya 20% bomba seluruh M'sia dibenar cuti sepanjang musim tengkujuh

Hanya 20 peratus daripada 14,400 pegawai serta anggota bomba di seluruh Malaysia dibenarkan bercuti sepanjang musim tengkujuh tahun ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya 20% bomba seluruh M'sia dibenar cuti sepanjang musim tengkujuh

(Gambar fail: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 10 Nov 2019 07:37PM Dikemas Kini : 10 Nov 2019 07:39PM

KUANTAN: Hanya 20 peratus daripada 14,400 pegawai serta anggota bomba di seluruh Malaysia dibenarkan bercuti sepanjang musim tengkujuh tahun ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. 

Beliau menambah kebenaran bercuti itu juga bergantung kepada alasan munasabah dan akan berkuat kuasa sehingga akhir Februari depan sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagan jabatan kala bencana banjir.  

Beliau berkata demikian di sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air 2019 di Teluk Cempedak, Kuantan, hari ini (10 Nov).

Beliau juga mengingatkan ibu bapa untuk lebih mengawasi pergerakan anak mereka khususnya pada musim tengkujuh, yang dijangka berlaku semasa musim cuti sekolah, bagi mengurangkan risiko berlaku kejadian tidak diingini seperti lemas. 

"Sudah tidak sesuai musim banjir disifatkan sebagai pesta air seperti yang dibuat dahulu dan pandangan ini patut ditamatkan. Lebih baik kita mengambil jalan selamat seperti tidak mengambil mudah arahan awal bomba untuk berpindah jika ada keperluan berbuat demikian," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Encik Raja Kamarul berkata statistik JBPM berkaitan kematian akibat lemas juga semakin menurun tahun ini iaitu 171 kes setakat September lalu berbanding 186 kes untuk tempoh sama pada 2018 manakala bagi keseluruhan tahun 2017 pula, sebanyak 327 kes dilaporkan.  

Sebagai usaha mengelak kejadian lemas, beliau berkata semua pemilik pusat rekreasi air dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memasang papan tanda amaran standard yang mudah difahami semua pengunjung bagi memaklumkan risiko yang bakal dihadapi. 

"Kebanyakan kes lemas adalah melibatkan pengunjung luar kerana orang tempatan selalunya sudah tahu bahaya kawasan itu. Kita juga berharap masyarakat dapat bersama-sama dalam menjaga papan tanda amaran ini supaya berkekalan," katanya. 

Encik Raja Kamarul berkata kementerian juga memasang 'Life Saving Appliances' (LiSA) di kesemua 15 kawasan berisiko tinggi lemas di seluruh negara, yang berfungsi sebagai ejen penyelamat dan mempunyai semboyan bagi tujuan pemakluman kes lemas.

"Kurang pengetahuan tentang bahaya air menyebabkan ada yang beranggapan kawasan itu selamat, sedangkan ada arus kuat di bawahnya. Mereka juga perlu diingatkan bahawa meskipun kita pandai berenang, tidak bererti kita tahu cara menyelamatkan orang lemas yang mungkin mendatangkan risiko pada diri sendiri," tambah beliau lanjut.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan