Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hang Tuah: Catatan Okinawa diterjemah ke bahasa Jepun

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik, semalam (6 Nov) melancarkan lima buku terbitan negara itu yang diterjemahkan ke bahasa Jepun dalam satu majlis yang berlangsung di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo.

Anggaran Waktu Membaca:
Hang Tuah: Catatan Okinawa diterjemah ke bahasa Jepun

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik, melancarkan lima buku terbitan negara itu yang diterjemahkan ke bahasa Jepun dalam satu majlis di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo. (Gambar: Kementerian Pendidikan Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 07 Nov 2018 07:29AM Dikemas Kini : 07 Nov 2018 01:44PM

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik, semalam (6 Nov) melancarkan lima buku terbitan negara itu yang diterjemahkan ke bahasa Jepun dalam satu majlis yang berlangsung di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo.

Dalam kenyataannya semalam (6 Nov), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan judul buku-buku yang dilancarkan adalah Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia, The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia, Hang Tuah: Catatan Okinawa, Halal: All That You Need To Know dan Beautiful Malaysia.

Dr Maszlee, yang kini berada di Tokyo kerana mengiringi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa lawatan kerja selama tiga hari ke negara itu, berkata pelancaran lima judul tersebut merupakan permulaan bagi lebih banyak lagi projek terjemahan dan penerbitan buku-buku Malaysia ke bahasa Jepun.

“Usaha terjemahan dan penerbitan buku ini penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau menerangkan bahawa perkara itu bertepatan dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang dianjurkan oleh KPM dan KLBACA!, iaitu kempen Kuala Lumpur ke arah Kota Buku Dunia 2020.

Menurut KPM, usaha itu merupakan inisiatif kerjasama antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan Japan Malaysia Association (JMA), dengan sokongan tiga universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Presiden Kinokuniya Co. Ltd., Masashi Takai, dan Pengarah Eksekutif JMA, Takakazu Ogawa.

"KPM akan teruskan usaha untuk memastikan aktiviti penterjemahan bergiat lebih aktif termasuk terjemahan buku-buku dalam bahasa Melayu ke bahasa asing serta dari bahasa asing ke bahasa Melayu.

“Ini akan meningkatkan ekonomi penterjemahan. Dalam masa yang sama akan ada pemindahan pengetahuan dalam bidang penterjemahan. Ini penting supaya semua kajian kita dirujuk termasuk karya universiti-universiti tempatan," menurut kenyataan itu.

Semasa majlis pelancaran itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani oleh ITBM, JMA dan Kinokuniya Jepun bagi mengedarkan buku-buku terbitan ITBM dan JMA di kedai-kedai buku terpilih Kinokuniya di Jepun.

Melalui MoU berkenaan, buku-buku hasil kerjasama ITBM dan JMA boleh didapati di pasaran Jepun, sekaligus menyebar luas karya penerbitan Malaysia di peringkat antarabangsa.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan