Images
  • ismail sabri
    (Gambar: Agensi berita)

Hampir semua aktiviti sosial tidak dibenarkan sepanjang PKP - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Hampir semua aktiviti sosial dan yang menyukarkan penjarakan fizikal tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri yang akan dikuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini (12 Jan).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Encik Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk majlis keraian seperti perkahwinan dan pertunangan, resepsi, sambutan ulang tahun, kenduri serta doa selamat.

Beliau berkata selain itu, mesyuarat bersemuka sama ada oleh kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan serta yang berkaitan industri MICE terdiri daripada mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran tidak dibenarkan.

“PKP ini kita banyak tumpukan kepada aktiviti sosial. Dari segi ekonomi ada dibenarkan, banyak juga dibenarkan tetapi yang tak dibenarkan langsung atau sebahagiannya sahaja adalah aktiviti sosial,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Penguatkuasaan semula PKP itu, yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Jan ini, telah diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam (11 Jan). 

- BERNAMA/NA/na

Top