Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 200 negara capai kata sepakat laksanakan perjanjian Iklim Paris jelang 2020

Hampir 200 negara akhirnya mencapai kata sepakat setelah rundingan hampir dua minggu mengenai langkah-langkah untuk melaksanakan perjanjian Iklim Paris menjelang 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2018 05:34PM Dikemas Kini : 16 Dec 2018 08:53PM

Katowice, POLAND: Hampir 200 negara akhirnya mencapai kata sepakat setelah rundingan hampir dua minggu mengenai langkah-langkah untuk melaksanakan perjanjian Iklim Paris menjelang 2020.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata penubuhan peraturan baru di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COP24 adalah "satu kejayaan".

Tambahnya ia menunjukkan "sokongan yang kukuh untuk pendekatan pelbagai hala" dalam menangani isu-isu global.

Setelah 13 hari para diplomat antarabangsa bersengkang mata, berunding dan sehinggalah mesyuarat terpaksa tertangguh sehari dari jadual asal - hasilnya sebuah buku peraturan ditetapkan bagi setiap negara dalam perjanjian Paris, termasuk Amerika Syarikat.

Para wakil percaya peraturan baru itu akan memastikan negara-negara menunaikan janji mereka untuk mengurangkan karbon.

Perjanjian Katowice bertujuan untuk mencapai matlamat utama perjanjian Paris iaitu menghadkan kenaikan suhu global sehingga di bawah dua darjah selsius.

Ini sekali gus merintis jalan bagi perjanjian iklim Paris yang diusahakan pada tahun 2015,dikuatkuasakan menjelang 2020.

"Prinsip-prinsip yang dipersetujui oleh para pemimpin pada tahun 2015 perlu dilaksanakan, perlu dijalankan, perlu ditetapkan dalam peraturan praktikal, dan inilah yang kami capai di sini di Katowice, di Poland," menurut Presiden COP24, Michal Kurtyka.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Masagos berkata Singapura berbesar hati kerana memainkan peranan dalam rundingan tersebut.

Singapura menyelaraskan dua isu rundingan utama, termasuk mengurangkan gas rumah hjiau, sementara Encik Masagos menyelaraskan rundingan Para Menteri.

Tambahnya, pasukan rundingan Singapura dari pelbagai kementerian sudah bekerja keras dengan para peserta lain dalam tempoh tiga tahun lalu untuk membangunkan peraturan itu.

Tahun 2018, tambahnya merupakan tahun yang tidak dapat dilupakan dalam isu menangani perubahan iklim dengan Tahun Tindakan Iklim Singapura berakhir dengan "hasil yang baik" di COP24.  

Sumber : CNA/NU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan