Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hamas tuding jari ke arah pegawai Penguasa Palestin cuba bunuh PM

Kumpulan Hamas menuding jari ke arah para pegawai Penguasa Palestin atas percubaan membunuh di kawasan Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah pada 13 Mac.

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas tuding jari ke arah pegawai Penguasa Palestin cuba bunuh PM

Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah semasa menyampaikan ucapan di satu acara. (Gambar: REUTERS/Mohammed Salem)

Diterbitkan : 29 Apr 2018 11:00AM Dikemas Kini : 29 Apr 2018 11:04AM

GAZA: Kumpulan Hamas menuding jari ke arah para pegawai Penguasa Palestin atas percubaan membunuh di kawasan Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah pada 13 Mac.

Tuduh-menuduh berkaitan serangan bom di tepi jalan ke atas konvoi Encik Rami Hamdallah mungkin memperdalam pergeseran politik antara kumpulan Hamas dengan Presiden Palestin yang disokong Barat, Mahmoud Abbas.

Encik Mahmoud Abbas menyalahkan serangan itu ke atas Hamas sejurus selepas insiden itu berlaku di Gaza. Encik Rami Hamdallah, yang menerajui usaha-usaha Penguasa Palestin untuk berbaik dengan Hamas, bagaimanapun tidak cedera dalam serangan tersebut.

Namun, Eyad al-Bozom, seorang jurucakap bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas di Gaza, semalam (28 Apr) memberitahu sidang media bahawa tiga pegawai kanan Penguasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat mendalangi serangan bom itu.

Reuters, bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut dan Penguasa Palestin menolak tuduhan Hamas.

Tiga lelaki yang dikenal pasti oleh Hamas sebagai suspek yang terlibat dalam serangan bom itu terbunuh dalam insiden tembak-menembak dengan kumpulan itu di Gaza pada 22 Mac.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri Gaza mengeluarkan pengakuan empat lelaki yang ditahan menerusi rakaman video. Mereka berkata serangan itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang dipimpin para pegawai Penguasa Palestin, yang berpangkalan di Tebing Barat. Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi bukti lanjut.

Percubaan membunuh itu menghalang usaha untuk menamatkan perpecahan antara kedua-dua puak Palestin - Hamas, yang menguasai Gaza dan Fatah, pasukan utama dalam Penguasa Palestin di Tebing Barat, yang diketuai Encik Mahmoud Abbas.

Timbalan Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya memberitahu sidang media berasingan bahawa suspek-suspek berkenaan "mahu menghapuskan perdamaian".

Menurut Al-Bozom, para pegawai Penguasa Palestin yang disyaki juga merupakan dalang percubaan untuk membunuh Ketua Keselamatan Hamas, Tawfeeq Abu Naeem, di Gaza pada bulan Oktober lalu.

Seorang jurucakap khidmat keselamatan Penguasa Palestin. Adnan al- Dmairi, pula menyalahkan Hamas atas insiden letupan pada 13 Mac.

"Semakin Hamas cuba melarikan diri daripada tanggungjawab, semakin ia terbenam," Encik Adnan memberitahu Reuters menerusi panggilan telefon.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan