Images
  • polis malaysia
    (Gambar: Bernama)

Guru parah ditetak 3 lelaki di hadapan rumah

KLUANG: Seorang guru lelaki parah akibat ditetak oleh tiga lelaki di hadapan rumahnya di Taman Seri Impian, di sini, awal pagi Rabu (12 Feb).

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata polis menerima aduan mengenai kejadian itu daripada jiran guru berkenaan yang terdengar jeritan pada kira-kira pukul 7.00 pagi.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa guru berumur 37 tahun itu dikatakan baru keluar rumah untuk ke tempat kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana di sini apabila didatangi tiga suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Mengikut keterangan pengadu (jiran), ketiga-tiga suspek memakai topeng muka dan menggunakan parang untuk menetak guru itu beberapa kali di bahagian kepala, tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Suspek tidak merosakkan atau melarikan barangan guru itu, jadi motif dipercayai akibat dendam. Tempat kejadian merupakan kawasan rumah jenis banglo setingkat,” katanya dan menambah guru berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal.

ACP Mohd Abduh berkata kes sedang disiasat mengikut Kanun Keseksaan. 

- BERNAMA/NA/na

Top