Images
  • Ketua Polis Negara Malaysia, Abdul Hamid Bador
    Ketua Polis Negara Malaysia, Abdul Hamid Bador. (Gambar: Bernama)

Guru madrasah antara ditahan terlibat kumpulan pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang guru madrasah lelaki adalah antara empat individu warga asing yang ditahan polis, dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas di sekitar Selangor dan Kedah antara 14 Jun sehingga Rabu 3 Julai lalu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata guru berkenaan seorang warga Myanmar dari etnik Rohingya ditahan pada Rabu di Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata guru berkenaan berkhidmat di sebuah madrasah di Bukit Pinang, Kedah, dan berusia 25 tahun.

“Suspek ditahan kerana memberi sokongan kepada kumpulan Arakan Rohingnya Salvation Army (Arsa),” katanya dalam kenyataan pada Selasa (9 Jul).

Encik Abdul Hamid berkata tangkapan lain membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun pada 14 Jun.

Katanya lelaki terbabit bekerja sebagai pendawai elektrik dan disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf serta terlibat dengan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan di perairan Sabah.

Beliau berkata individu berkenaan disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) serta didapati menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap secara haram.

Encik Abdul Hamid berkata tangkapan seterusnya berlaku pada 21 Jun di Ampang, Selangor, membabitkan seorang lagi lelaki warga India berusia 24 tahun.

“Individu itu ditahan kerana bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan kumpulan pengganas Babbar Khalsa International India.

“Kumpulan itu dipercayai sudah memasuki negara pada November 2018 dan Jun 2019.

"Individu yang bekerja sebagai penyelenggara lif itu juga didapati menyalurkan wang berjumlah RM7,600 (S$2,500) bagi membiayai aktiviti kumpulan pengganas itu di rantau Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, pada 24 Jun lalu polis menahan seorang lelaki warga Myanmar - juga daripada etnik Rohingya - yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek merupakan penyokong kumpulan Arsa dan ditahan kerana memuat naik satu video ugutan bunuh ke atas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wazed di laman sosialnya.

"Menerusi rekod, individu itu pernah ditangkap sebanyak tiga kali iaitu pada 1997, 2012 dan 2015 atas kesalahan memasuki negara secara haram, menggunakan dokumen perjalanan palsu dan terlibat dengan aktiviti penyeludupan manusia," katanya.

Menurut Encik Abdul Hamid, kesemua suspek ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Bab VIA atas kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) .

- BERNAMA/NA/na

Top