Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gunung berapi lumpuhkan Manila

Sekolah dan perniagaan ditutup di seluruh ibu kota Filipina pada Isnin (13 Jan), menyusuli kepulan abu gunung berapi memenuhi bandar itu dan amaran pakar seismologi menjangkakan letusan boleh berlaku pada bila-bila masa, yang berpotensi mencetuskan tsunami.

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung berapi lumpuhkan Manila

Sekolah dan perniagaan ditutup di seluruh ibu kota Filipina pada Isnin (13 Jan), menyusuli kepulan abu gunung berapi memenuhi bandar itu.

Diterbitkan : 14 Jan 2020 09:00AM Dikemas Kini : 14 Jan 2020 09:26AM

MANILA: Sekolah dan perniagaan ditutup di seluruh ibu kota Filipina pada Isnin (13 Jan), menyusuli kepulan abu gunung berapi memenuhi bandar itu dan amaran pakar seismologi menjangkakan letusan boleh berlaku pada bila-bila masa, yang berpotensi mencetuskan tsunami.

Ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di sekitar Taal, salah satu daripada gunung berapi aktif paling kecil di dunia, yang memuntahkan abu untuk hari kedua di tengah sebuah tasik yang terletak 70 kilometer di selatan Manila.

“Kelajuan peningkatan aktiviti gunung berapi Taal mengejutkan kami,” kata ketua pakar penyelidikan sains di Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina, Maria Antonia Bornas, kepada para wartawan.

“Kami sudah mengesan magma. Ia masih jauh di dalam, belum sampai ke permukaan. Kami menjangkakan letusan membahayakan pada bila-bila masa.”

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran letusan boleh mencetuskan tsunami di sekitar tasik itu.

Lebih 24,000 penduduk dipindahkan dari kepulauan gunung berapi itu dan kawasan sekitarnya, yang kebiasaannya kawasan popular di kalangan pelancong.

“Kami takut dengan apa yang bakal berlaku, kami ingatkan gunung berapi itu sudah meletus,” kata Marilou Baldonado, 53 tahun, yang meninggalkan bandar Laurel bersama dua pasang pakaian selepas melihat kepulan abu semakin tebal.

Segelintir pelancong bagaimanapun mengabaikan amaran tersebut dan pergi ke bandar berhampiran gunung berapi itu untuk melihatnya dengan lebih dekat lagi.

“Ia adalah pengalaman sekali seumur hidup untuk kami,” kata pelancong Israel, Benny Borenstein, kepada Reuters sambil mengambil beberapa gambar Taal dari Bandar Tagaytay, kira-kira 32 kilometer dari lokasi.

Di barat daya gunung berapi, bandar Agoncillo dan Lemery dipenuhi kepulan abu yang tebal, sekali gus menyebabkan jalan tidak dapat dilalui.

Datuk Bandar Agoncillo, Daniel Reyes, memberitahu radio DZMM beberapa rumah dan sebahagian bangunan runtuh kerana menampung berat abu tersebut.

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan