Images
  • volcano
    (Gambar: Bullit MARQUEZ/AFP)

Gunung berapi Filipina: Ribuan penduduk dipindahkan, jejas penerbangan di lapangan terbang Manila

MANILA: Gunung berapi berdekatan Manila memuntahkan debu yang memaksa penerbangan dibatalkan dan sekolah-sekolah serta pejabat pemerintah ditutup setelah pihak berkuasa memberi amaran tentang "letusan besar yang mungkin berlaku".

Beribu-ribu orang dipindahkan dari kawasan berdekatan gunung berapi Taal setelah ia tiba-tiba memuntahkan debu dan asap setinggi 15 kilometer ke udara.

Taal, salah satu gunung berapi kecil yang aktif di dunia, terletak di tengah-tengah sebuah tasik sekitar 70 kilometer dari Manila. Pihak berkuasa menyatakan bahawa terdapat risiko satu letusan besar boleh mengakibatkan tsunami di tasik itu.

"Taal adalah sebuah gunung berapi yang amat kecil, tetapi berbahaya," menurut Renato Solidum, ketua Institut Filipina bagi gunung berapi dan seismologi, kepada Reuters. "Ia unik kerana ia adalah gunung berapi di dalam sebuah gunung berapi."

Institut itu menaikkan tahap amaran gunung berapi itu ke paras 4 daripada 5 - yang bermakna "letusan besar yang berbahaya mungkin berlaku dalam tempoh antara beberapa jam hingga beberapa hari akan datang."

Taal, salah sebuah gunung berapi paling aktif di Filipina sudah meletus lebih 30 kali sejak 500 tahun lalu, yang paling terkini adalah pada 1977.

- REUTERS/NA/na

Top