Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Guinea catat kematian pertama akibat Ebola sejak 2016

Empat orang meninggal dunia akibat Ebola di Guinea dalam kemunculan pertama penyakit itu dalam tempoh lima tahun, kata menteri kesihatan negara itu pada Sabtu (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Guinea catat kematian pertama akibat Ebola sejak 2016

Kain rentang dengan pesanan mengenai Ebola dilihat di Conakry, Guinea (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 14 Feb 2021 07:15PM Dikemas Kini : 14 Feb 2021 07:22PM

CONAKRY, Guinea: Empat orang meninggal dunia akibat Ebola di Guinea dalam kemunculan pertama penyakit itu dalam tempoh lima tahun, kata menteri kesihatan negara itu pada Sabtu (13 Feb).

Cik Remy Lamah memberitahu AFP bahawa para pegawai "benar-benar prihatin" mengenai kematian itu, yang pertama sejak wabak 2013-2016 - yang bermula di Guinea - menyebabkan 11,300 kematian di rantau itu.

Salah satu mangsa terbaru di Guinea ialah seorang jururawat yang jatuh sakit pada lewat Januari dan dikebumikan pada 1 Februari, kata ketua Badan Keselamatan Kesihatan Nasional, Sakoba Keita kepada media tempatan.

"Antara mereka yang menghadiri pengebumian, lapan orang menunjukkan gejala: Cirit-birit, muntah-muntah dan pendarahan," katanya.

"Tiga daripada mereka meninggal dunia dan empat yang lain berada di hospital."

Empat kematian akibat demam berdarah Ebola itu berlaku di daerah tenggara Nzerekore, katanya.

Encik Keita juga memberitahu media tempatan bahawa seorang pesakit "melarikan diri" tetapi ditemui dan dimasukkan ke hospital di ibu kota Conakry. Beliau mengesahkan komen tersebut kepada AFP tanpa memberikan perincian lanjut.

Pertubuhan Kesihatan Dunia memantau setiap penularan baru sejak 2016 dengan sangat prihatin dan menganggap penularan terbaru di Republik Demokratik Kongo sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.

Awal Ahad, ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menulis di Twitter bahawa agensi kesihatan PBB telah dimaklumkan mengenai dua kes disyaki penyakit membawa maut itu di Guinea.

"Ujian pengesahan sedang dijalankan," menurut catatan itu, sambil menambah bahawa pejabat rantau dan negara WHO "menyokong usaha kesediaan dan tindak balas".

DR Congo telah menghadapi beberapa penularan penyakit itu, dan WHO pada Khamis mengesahkan penularan baru tiga bulan selepas pihak berkuasa mengisytiharkan wabak terbaru negara itu sudah berakhir.

Negara itu telah mengisytiharkan bahawa wabak enam bulan itu berakhir pada November. Ia adalah penularan Ebola ke-11 di negara itu, yang meragut 55 nyawa daripada 130 kes.

Program vaksinasi yang meluas, yang ditadbirkan kepada lebih daripada 40,000 orang, membantu membendung penyakit itu.

Wabak 2013-2016 mempercepat pembangunan vaksin terhadap Ebola, dengan bekalan simpanan kecemasan global sebanyak 500,000 dos dirancangkan untuk bertindak pantas terhadap sebarang penularan di masa depan, menurut perikatan vaksin Gavi pada Januari.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan