Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gugurnya perajurit KRI Nanggala-402: Pesanan terakhir jadi kenangan keluarga

Gugurnya perajurit KRI Nanggala-402: Pesanan terakhir jadi kenangan keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
Gugurnya perajurit KRI Nanggala-402: Pesanan terakhir jadi kenangan keluarga

Pesanan terakhir salah seorang prajurit KRI Nanggala-402 yang gugur. (Gamber: Petikan dari TikTok @Megdhi)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 11:33PM Dikemas Kini : 27 Apr 2021 12:00AM

INDONESIA: Jika tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402 membuatkan masyarakat dunia bersedih, apatah lagi anggota keluarga para perajurit yang gugur semasa menjalankan tugas dalam kapal tersebut.

Pastinya luluh hati mereka menerima khabar meruntun jiwa itu setelah beberapa hari menunggu penuh harapan dan berdoa agar anak, suami dan bapa tersayang selamat dan akan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Namun tiada siapa yang mampu melawan takdir Tuhan. Sudah termaktub bahawa hayat mereka berakhir sampai di sini sahaja - dalam bulan suci Ramadan ini.

Yang tinggal kini hanya kenangan dan perbualan kali terakhir untuk diabadikan sehingga ke akhir hayat.

IBU PENGSAN BEBERAPA KALI

Bagi Cik Rosita, 56 tahun, beliau sudah pasrah atas apa yang berlaku pada anaknya, Eko Firmanto, yang juga salah seorang askar yang gugur dalam tragedi itu.

"Saya sudah pasrah apa pun yang terjadi terhadap Mas Eko, kerana itu sudah kehendak Allah. Ya saya ikhlas," kata Cik Rosita di rumahnya di Tegal, Jawa Tengah hari ini (26 Apr).

Meskipun beliau mengatakan sudah pasrah, jelas pada raut wajahnya keperitan menahan sedih seorang ibu yang kehilangan anak, menurut laporan Detik News.

Malah, Cik Rosita juga sudah beberapa kali pengsan apabila teringat Allahyarham anaknya itu, menurut laporan laman itu lagi.

Allahyarham Eko pergi meninggalkan seorang balu dan dua orang cahaya mata.

Menurut Cik Rosita, sebelum berangkat untuk menjalankan tugas kelmarin, Allahyarham Eko sempat menghubungi ibu bapanya.

Dengan mata yang berkaca titisan air mata, Cik Rosita mendedahkan apa yang dikatakan anaknya itu semasa membuat panggilan telefon tersebut.

'Ma, Mas Eko mahu pergi untuk berlayar lokal (dalam negeri). Tidak tahu (berapa) lama kerana tugas tidak dapat ditentukan'. Dia juga pesan, 'Mama jaga kesihatan, selalu sihat dan doakan Mas Eko biar selamat sampai tujuan'," bunyi pesanan terakhir Allahyarham.

Cik Rosita berkata, Allahyarham sempat menelefonnya dua kali, iaitu pada Sabtu (17 Apr) dan Isnin (19 Apr), lapor Detik News.

Allahyarham kemudian berlayar dan pada 21 April lalu dikhabarkan kapal selam yang dinaikinya sudah terputus komunikasi.

Bapa Allahyarham pula, Rakyan, 58 tahun, kelihatan tabah.

Beliau berkata, sebelum diumumkan bahawa KRI Nanggala 402 sudah karam dan semua anak kapalnya terkorban, beliau masih berharap anak lelakinya itu selamat.

Namun, akhirnya beliau turut pasrah dan mengikhlaskan pemergian anaknya itu.

RINDU TIDAK BERPENGHUJUNG

Bagi Mega Dian Pratiwi, 23 tahun, kiriman mesej rindu beliau kepada suaminya, Pandu Yusha Kusuma, juga 23 tahun seolah-olah satu firasat bahawa rindu itu tidak akan berpenghujung.

Menerusi laman TikTok milik Cik Mega, beliau berkongsi gambar perkahwinannya bersama Allahyarham dan juga perbualan terakhir mereka menerusi WhatsApp.

(Gambar: Petikan dari TikTok @Megdhi)

Pasangan itu baru sahaja membina mahligai bersama pada 24 Februari tahun ini.

Sebelum suaminya, salah seorang askar KRI Nanggala 402, berlepas untuk berkhidmat demi negara, sempat diminta isteri tercinta mendoakan perjalanannya.

Kemudian ditanya pula kepada isteri adakah beliau ingat pesanan-pesanan suaminya itu.

"Pesanan saya apa?," tanya Allahyarham Pandu kepada isteri.

Si isteri menjawab "Jaga kehormatan, jaga kakak di, dijaga semua. Saya rindu awak," balas Cik Mega.

(Gambar: Petikan dari TikTok @Megdhi)

Kemudian firasat Cik Mega seolah-olah semakin kuat tetapi beliau sendiri tidak pasti apakah yang mengganggu perasaannya.

(Gambar: Petikan dari TikTok @Megdhi)

Maka dikirimkan lagi mesej kepada suaminya.

"Sayang," tulis beliau sambil memberikan 'emoticon' menangis.

"Kenapa sayang??," balas suaminya.

"Rindu. Cepat pulang," jawab Cik Mega.

Itulah mesej terakhir antara pasangan suami isteri tersebut, menurut laporan Merdeka.com.

LAGU 'SAMPAI JUMPA' MENYENTUH PERASAAN

Sejak sehari dua ini, tular pula satu rakaman video yang menunjukkan para tentera laut KRI Nanggala 402 menyanyi beramai-ramai dalam kapal tersebut.

Lagu yang bertajuk 'Sampai Jumpa' yang ditulis oleh kugiran Indonesia bernama Endank Soekamti itu membuat ramai orang tersentuh, khususnya apabila dikaitkan dengan tragedi yang menimpa mereka.

Kugiran Endank Soekamti memuat naik video nyanyian anak kapal KRI Nanggala 402 itu di akaun Instagramnya, menurut laporan Merdeka.com.

Menerusi video itu, seorang anak kapal dilihat bermain gitar dengan yang lain bernyanyi beramai-ramai.

Melalui satu lagi video, para perajurit itu merakam video dengan sebahagian daripada mereka memegang papan yang tertera bait lirik.

Bait-bait liriknya berbunyi seperti berikut:

Datang akan pergi
Lewat 'kan berlalu
Ada 'kan tiada bertemu akan berpisah

Awal 'kan berakhir
Terbit 'kan tenggelam
Pasang akan surut bertemu akan berpisah

Hey, sampai jumpa di lain hari
Untuk kita bertemu lagi
Kurelakan dirimu pergi
Meskipun ku tak siap untuk merindu
Ku tak siap tanpa dirimu
Kuharap terbaik untukmu

Bagaimanapun, tidak diketahui bila video tersebut dirakamkan, lapor Merdeka.com.

Rakaman video itu begitu menyentuh perasaan sehingga ramai yang masih mendoakan mereka. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan