Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

GRS namakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Encik Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baru. 

Anggaran Waktu Membaca:
GRS namakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 03:37PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 03:38PM

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Encik Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baru.

Encik Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengesahkan perkara itu dan beliau akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri pada 10.30 pagi esok (29 Sep).

"Saya ingin memaklumkan kami GRS, terdiri daripada PN (Perikatan Nasional), BN (Barisan Nasional) dan PBS (Parti Bersatu Sabah) telahpun bersetuju bersama untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

"Kami telah bersetuju sebulat suara bahawa mereka telah menamakan saya sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya di sidang media khas hari ini (28 Sep).

Hadir sama di sidang media yang turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen ialah Pengerusi BN Sabah Encik Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Encik Jahid Jahim serta barisan wakil rakyat daripada GRS.

Encik Hajiji turut menzahirkan ikrar bahawa wakil rakyat GRS akan menunaikan janji serta menjalankan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah dengan sebaiknya.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memilih pemimpin daripada GRS,” tambah Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Ditanya mengenai barisan jemaah menteri, Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah berkata perkara itu akan diumumkan selepas selesai majlis mengangkat sumpah.

Sementara itu, Encik Bung Moktar berjanji kerajaan negeri baru yang diterajui GRS akan berhenti berpolitik dan sebaliknya menumpukan usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi Sabah.

“Adalah menjadi tanggungjawab besar kerajaan negeri yang baharu ini untuk kita sama-sama memulakan langkah memastikan rakyat di bawah mendapat pembelaan,” kata Encik Bung Moktar yang memenangi kerusi Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu.

Awal hari ini, Jabatan Penerangan Sabah memaklumkan Bernama bahawa upacara mengangkat sumpah jawatan ketua menteri akan diadakan esok bermula 10.30 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Semalam, Encik Bung Moktar dilaporkan berkata Yang Dipertua Negeri Tun Juhar meminta diberikan masa untuk menentukan siapa ketua menteri yang baharu selepas mengadakan pertemuan dengan beliau, Hajiji, Jeffrey dan Jahid.

Pada PRN itu, GRS yang terdiri daripada PN, BN dan PBS memperoleh 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus layak membentuk kerajaan, sementara Warisan Plus dan sekutunya memenangi 32 kerusi dan baki tiga lagi dimenangi oleh calon Bebas. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan