Images
  • child poverty
    Seorang kanak-kanak di Karachi, Pakistan (Gambar hiasan: AFP/Asif HASSAN)

Golongan miskin papa mungkin meningkat kepada 1.1 bilion sedunia akibat COVID-19: Kajian

LONDON: Kemelesatan ekonomi akibat pandemik virus korona mungkin akan menyebabkan lagi seramai 395 juta penduduk dunia hidup dalam kemiskinan melampau dan meningkatkan jumlah keseluruhan mereka yang mempunyai pendapatan kurang AS$1.90 (S$2.65) sehari di seluruh dunia kepada lebih 1 bilion, kata para pengkaji dalam satu laporan pada Jumaat (12 Jun).

Laporan itu yang diterbitkan oleh UNU-WIDER, sebahagian daripada Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - mengandaikan beberapa senario, dengan mengambil kira pelbagai tahap kemiskinan Bank Dunia - daripada kemiskinan melampau, yang ditakrifkan sebagai pendapatan kurang AS$1.90 (S$2.65) sehari, sehingga garis kemiskinan lebih tinggi dengan pendapatan kurang AS$5.50 (S$7.66) sehari.

Dalam senario paling buruk - penguncupan 20 peratus dalam pendapatan atau penggunaan per kapita - jumlah mereka yang hidup dalam kemiskinan melampau boleh meningkat kepada 1.12 bilion.

Penguncupan yang sama terpakai pada ambang AS$5.50 (S$7.66) di kalangan negara-negara pendapatan pertengahan atasan boleh menyebabkan lebih 3.7 bilion orang - atau lebih daripada separuh penduduk dunia - hidup di bawah garis kemiskinan ini.

"Ramalan masa depan bagi golongan termiskin di dunia kelihatan suram kecuali jika pemerintah melakukan lebih banyak usaha dan melakukannya dengan pantas dan mengimbangi kehilangan pendapatan harian yang dihadapi golongan miskin," kata Profesor Andy Sumner, salah seorang penulis laporan itu.

"Hasilnya adalah kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan mungkin tergendala 20-30 tahun dan menjadikan matlamat PBB untuk membasmi kemiskinan kelihatan seperti impian kosong."

Para penyelidik dari King's College London dan Australian National University juga mendapati bahawa kemiskinan akan beralih dalam taburan geografinya.

Rantau yang dijangka mencatat jumlah terbesar orang yang berisiko terjerumus ke dalam kemiskinan melampau adalah Asia Selatan, terutamanya disebabkan jumlah penduduk India yang ramai. Ini diikuti oleh Afrika Sub-Sahara yang akan membentuk sepertiga kenaikan jumlah penduduk miskin itu.

Pada Isnin, Bank Dunia mengumumkan bahawa ia menjangkakan 70-100 juta orang akan mengalami kemiskinan melampau akibat wabak COVID-19.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- Reuters/TQ/tq

Top