Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa-tsunami Indonesia ragut nyawa sekurang-kurangnya 832 mangsa

Angka korban akibat gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda Indonesia sudah meningkat kepada 832 sejauh ini dan ia mungkin terus meningkat, menurut agensi bencana negara itu pada Ahad (30 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa-tsunami Indonesia ragut nyawa sekurang-kurangnya 832 mangsa

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di bandar Palu. (Gambar: Antara Foto/BNBP melalui Reuters)

Diterbitkan : 30 Sep 2018 04:52PM Dikemas Kini : 30 Sep 2018 04:57PM

PALU: Angka korban akibat gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda Indonesia sudah meningkat kepada 832 sejauh ini dan ia mungkin terus meningkat, menurut agensi bencana negara itu pada Ahad (30 Sep).

Sejauh ini, agensi bencana menyatakan bahawa hampir kesemua kematian dilaporkan di bandar Palu, dua hari setelah ombak tsunami setinggi 1.5 meter membadai bandar yang terletak di pulau Sulawesi itu.

Menurutnya, 11 kematian dilaporkan di daerah Donggala.

Laporan-laporan awal menyatakan bahawa seramai 400 orang terkorban sedang hospital-hospital bergelut untuk merawat beratus-ratus orang yang cedera. Pasukan mencari dan menyelamat juga sedang berusaha menembusi wilayah yang terjejas.

Berpuluh-puluh orang juga dilaporkan masih lagi terperangkap di bawah serpihan hotel yang runtuh di bandar Palu, yang dipukul oleh ombak setinggi enam meter menyusuli gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang menggegarkan bandar tersebut.

Presiden Indonesia Joko Widodo dijadual melawat pusat-pusat perlindungan sementara di bandar itu pada Ahad (30 Sep).

Sekitar 540 orang juga dilaporkan cedera parah, menurut para pegawai.

"Sekitar 10,000 penduduk dianggarkan mendapatkan perlindungan di 50 pusat sementara di bandar Palu," kata seorang pegawai seperti yang dipetik oleh Kompas. "Kami sedang menghadapi kesukaran mengerahkan perkakas berat bagi mencari para mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan kerana kebanyakan jalan raya yang menuju ke arah bandar Palu musnah akibat bencana itu."

ANGKA KORBAN DIJANGKA MENINGKAT

Semasa taklimat media yang diadakan di Jakarta, jurucakap BNBP Sutopo Purwo Nugroho berkata bencana alam tersebut menyebabkan "kemusnahan besar" dengan beribu-ribu rumah, hospital, pusat beli-belah dan hotel runtuh. Sebuah jambatan juga hanyut dan jalan raya utama ke bandar Palu tersekat akibat kejadian tanah runtuh.

Encik Nugroho berkata bahawa jumlah kematian dan kerosakan mungkin lebih teruk di daerah Donggala, yang terletak lebih dekat dengan pusat gempa.

Palang Merah menyatakan bahawa para kakitangan dan sukarelawannya kini sedang menuju ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Hospital-hospital pula dibanjiri dengan mereka yang cedera akibat bencana tersebut, dengan ramai daripada mereka dirawat di ruang terbuka manakala mereka yang berjaya diselamatkan sedang membantu mencari mayat-mayat mangsa.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu adalah lebih dahsyat berbanding satu siri gempa bumi yang mengorbankan beratus-ratus orang di pulau Lombok pada Julai dan Ogos lalu. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan