Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa susulan kuat gegarkan Taiwan

Satu siri gempa susulan yang kuat menggegarkan Taiwan, kurang sehari selepas gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter membawa maut di bandar Hualien, timur pulau berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa susulan kuat gegarkan Taiwan

Sebuah hotel dan blok perumahan adalah yang paling teruk terjejas oleh gempa berkenaan di bandar pelabuhan Hualien.

Diterbitkan : 08 Feb 2018 09:22AM Dikemas Kini : 08 Feb 2018 02:58PM

TAIPEI: Satu siri gempa susulan yang kuat menggegarkan Taiwan, kurang sehari selepas gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter membawa maut di bandar Hualien, timur pulau berkenaan.

Gempa susulan terbaru itu, dengan 5.7 magnitud, adalah yang paling dahsyat sejauh ini.

Ia berlaku malam semalam (7 Feb), 19 kilometer dari timur laut Hualien dan pada kedalaman 10.8 kilometer, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Dalam masa 24 jam, kawasan tersebut digegarkan oleh enam gempa susulan dengan magnitud 5 dan ke atas selepas berlakunya gempa pada Selasa lalu (6 Feb), menurut data USGS.

Sehingga lewat semalam, sekurang-kurangnya tujuh orang di bandar tersebut terkorban manakala 67 lagi hilang, sedang pasukan penyelamat mencari mangsa di kawasan bangunan yang runtuh.

KEKUATAN, JUMLAH GEMPA SUSULAN 'TIDAK DIJANGKAKAN'

Kekuatan dan jumlah gempa susulan tidak dijangkakan di kawasan tersebut, menurut laporan Focus Taiwan yang menukil Biro Cuaca Pusat Taiwan.

Dari 4 Februari sehingga gempa pada malam Selasa yang berukuran 6.4 pada skala Richter, sebanyak 94 gegaran dicatatkan.

Antara tempoh itu sehingga 1.00 tengah hari semalam, 150 gempa susulan dilaporkan.

"Ini tidak dijangkakan sama sekali dan bukan pengeluaran tenaga yang biasa," kata Chen Kuo-chang, pemangku pengarah Pusat Seismologi Biro Cuaca Pusat kepada media Taiwan.

Setiap tahun, Taiwan dilanda sekitar 20 hingga 25 gempa bumi yang berukuran 5.0 dan ke atas pada skala Richter dan gempa yang berlaku beberapa hari lalu membentuk hampir separuh daripada jumlah tersebut.

Biro itu turut memberi amaran mengenai lebih banyak gempa susulan yang akan berlaku dan tidak menolak kemungkinan gempa lebih dahsyat yang berukuran 6.0 atau lebih boleh melanda. 

Sumber : AFP/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan