Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa Lombok: Imam terus solat dalam keadaan huyung-hayang; beberapa masjid turut roboh

Video yang menunjukkan seorang imam dan sekumpulan jemaahnya meneruskan solat dalam keadaan terhuyung-hayang disebabkan gempa bumi menjadi viral di media sosial hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa Lombok: Imam terus solat dalam keadaan huyung-hayang; beberapa masjid turut roboh

Petikan gambar dari YouTube.

BERITAMediacorp: Video yang menunjukkan seorang imam dan sekumpulan jemaahnya meneruskan solat dalam keadaan terhuyung-hayang disebabkan gempa bumi menjadi viral di media sosial hari ini (6 Ogos).

Ini menyusuli gempa 6.9 skala Richter yang menggegarkan Lombok malam tadi (5 Ogos), yang mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang dan mencederakan lebih 200 mangsa. Jumlah korban bagaimanapun dijangka meningkat.

Gempa tersebut turut menjejas para penduduk dan pelancong di pulau Bali yang berdekatan serta juga Kepulauan Gili yang merangkumi tiga pulau kecil - Gili Trawangan, Gili Meno and Gili Air - dari barat laut Lombok.

MASJID ROBOH, JEMAAH LARI BERTEMPIARAN

Beberapa buah masjid juga dilaporkan roboh, menurut AFP seperti dipetik daripada Ketua Daerah Lombok Barat, Najmul Akhyar. Beliau menambah bahawa jentera-jentera berat diperlukan kerana pihaknya mengesyaki bahawa "sejumlah jemaah sedang terperangkap di dalamnya".

Menurut laman Tribunnews, imam dan para jemaah tersebut sedang menunaikan solat Isyak di Musholla As-Syuhada Bali, apabila gegaran tiba-tiba dirasakan.

Menerusi video itu, para jemaah dapat dilihat melarikan diri apabila gegaran semakin kuat.

Imamnya bagaimanapun tetap meneruskan solat dan bacaan, meskipun beliau dapat dilihat cuba mengimbangi tubuhnya dan tangan kirinya memegang tembok, supaya tidak terjatuh. Baki tiga hingga empat jemaah juga dilihat masih meneruskan solat dalam keadaan terhuyung-hayang.

Terdapat dua lagi video yang menunjukkan para jemaah di masid-masjid lain lari bertempiaran di pertengahan solat untuk menyelamatkan diri semasa bumi digoncang gempa. Nama masjid-masjidnya bagaimanapun tidak dinyatakan dalam video-video tersebut.

Dalam video berikut ini, para jemaah di sebuah masjid di Bangli, Bali nyaris-nyaris ditimpa serpihan bumbung yang mulai runtuh, lapor laman Kumparan News.

Mujur semuanya berjaya melarikan diri keluar dari masjid, termasuk imamnya, sebelum runtuhan jatuh di bahagian tempat jemaah berdiri solat.

Sebelum ini, dalam kejadian gempa yang berlaku sekitar seminggu lalu - juga di Lombok pada 29 Julai - sebuah video yang dimuat naik menunjukkan keadaan bertukar cemas secara tiba-tiba semasa seorang ustaz sedang menyampaikan ceramah di Masjid Sekarbela.

Sebaik sahaja gegaran dirasakan, ustaz berkenaan melafazkan "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" sebelum mula membaca doa minta diselamatkan daripada bencana yang sedang melanda itu. Bandul (pendulum) dan besi pada jam di belakang ustaz berkenaan juga kelihatan berhayun ke kiri ke kanan buat beberapa ketika.

Seorang jemaah juga dilihat melaungkan azan selepas itu sebagai tindak balas kepada bencana itu.

Dalam pada itu seorang jurucakap agensi banguan bencana negara Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho di laman Twitternya menyatakan masih terdapat mangsa yang tertimpa bumbung masjid yang roboh belum dipindahkan di Desa Lading-Lading Kecamatan Tanjung Kabupaten Lombok Utara.

BAYI DILAHIRKAN DI TEMPAT LETAK KERETA

Meskipun keadaan ribut akibat gempa yang berlaku kali kedua dalam tempoh lebih kurang seminggu di Lombok, terdapat juga laporan yang membawa sedikit kegembiraan.

Menurut laporan laman Merdeka.com, dua bayi dilahirkan secara normal di Nusa Tenggara Barat (NTB) semasa wilayah itu digoncangkan oleh gempa.

Sekalipun demikian, detik-detik akhir sebelum melahirkan bayi, bertambah cemas apabila sampai di pekarangan hospital, para pesakit dilihat dirawat di tempat-tempat meletak kereta.

"Saat tiba di rumah sakit keadaan masih panik. Para pesakit banyak dirawat di tempat meletak kereta. Termasuk seorang lagi ibu yang sudah melahirkan. Alhamdulilah kami berdua melahirkan dengan selamat," Cik Aryana menceritakan pengalamannya.

PELANCONG PANIK, BEREBUT BOT

Menurut laporan AFP pula, gempa di Lombok itu mencetuskan keadaan panik dalam kalangan para pelancong di pulau peranginan tersebut.

Sedang Indonesia giat menjalankan operasi untuk memindahkan sekitar 1,200 pelancong asing dari Kepulauan Gili, operasi itu dihambat jumlah bot yang terbatas.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Encik Nugroho di laman Twitter beliau, ribuan pelancong dilihat terkandas menantikan giliran untuk dipindahkan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya seorang pelancong warga Indonesia dilaporkan terkorban di kepulauan Gili manakala seorang lagi pelancong maut berdekatan Bali, menurut AFP.

Cik Denink Ayu, seorang penyambut tamu di sebuah hotel di Gili Trawangan memberitahu CNN Indonesia "semua orang panik" selepas berlakunya gempa.

"Sekarang kami berebut untuk mendapatkan bot. Kami sedang beratur di pelabuhan tetapi tidak cukup bot," kata Cik Denink dalam keadaan menangis. 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan