Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa kuat Sulawesi cetus amaran tsunami

Gempa kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan timur Indonesia pada Jumaat (12 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa kuat Sulawesi cetus amaran tsunami

Penduduk bersedia untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi selepas kejadian gempa bumi di Sulawesi Tengah. (Gambar: @bluevn22/Twitter)

Diterbitkan : 12 Apr 2019 10:51PM Dikemas Kini : 12 Apr 2019 11:14PM

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan timur Indonesia pada Jumaat (12 Apr). Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut mencetuskan amaran tsunami sekali gus menyebabkan para penduduk yang cemas melarikan diri dari rumah mereka.

Menurut USGS, bencana alam itu melanda pantai timur pulau Sulawesi pada kedalaman 17 kilometer. Ia berlaku di sebahagian lain pulau yang sebelum ini digegarkan gempa-tsunami berukuran 7.5 pada skala Richter di sekitar bandar Palu, meragut lebih 4,300 nyawa tahun lalu.

Gempa bumi melandar Sulawesi Tengah, Indonesia. (Gambar: Last Earthquakes/Twitter)

Gempa melanda Sulawesi Tengah, Indonesia. (Gambar: Last Earthquakes/Twitter)

Agensi geofizik Indonesia mengeluarkan amaran tsunami kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pantai dekat daerah Morowali.

Amaran itu kemudian ditarik balik selepas kira-kira 40 minit.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan setakat ini namun USGS memberi amaran bahawa kerosakan besar mungkin berlaku ke atas struktur-struktur yang tidak direka dengan utuh dan baik.

Kesan gempa itu kuat di Palu meskipun ia terletak ratusan kilometer dari tempat kejadian.

Ia juga dirasakan di Kabupaten Luwu, Morowali dan Banggai, kata Sutopo Puerwo Nugroho, jurucakap agensi bencana Indonesia.

"Saya terus berlari keluar selepas gempa bumi - segala-galanya bergoyang," kata Mahfuzah, seorang penduduk Palu.

Gempa itu "kuat dan berlarutan lama", kata Gina Saerang, seorang penduduk Manado, ibu kota wilayah Sulawesi Utara yang terletak beberapa ratus kilometer dari pusat gempa tersebut.

Seorang pengguna Twitter, Jey, pula berkongsi tentang bencana alam itu dengan menulis: "Teman-teman, saya sekarang berada di Luwuk Banggai, Sulawesi Tengah. Gempa bumi sangat kuat di sini. Ramai orang lari bertempiaran. Saya dengan mungkin tsunami akan berlaku. Tolong doakan keselamatan kami."

"Dinding pejabat rosak," kata seorang lagi pengguna Twitter lain, Laela, yang abangnya terjejas oleh gempa itu.

"Mereka kini merancang untuk berpindah ke kawasan tanah lebih tinggi."

Terdapat dua gempa susulan berukuran 5 dan 5.2 pada skala Richter selang 30 minit selepas gempa pertama.

Ribuan penduduk di Palu masih lagi berlindung di tempat perlindungan sementara enam bulan selepas bencana alam itu melanda bandar tersebut September lalu. Sekurang-kurangnya 170,000 penduduk bandar itu dan daerah sekitar dipindahkan. Ada kawasan-kawasan yang musnah sepenuhnya ditimbuni reruntuhan meskipun kehidupan sudah kembali seperti biasa di kawasan-kawasan lain yang dilanda tsunami.

Kesan gempa tersebut menyaksikan seluruh kawasan penduduk diratakan oleh pencecairan - proses tanah mula berperilaku seperti cecair dan menelan bumi seperti pasir jerlus. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan