Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gempa bumi Lombok: Keluarga Siti Nur Ismawida tunggu kesahihan berita

Keluarga rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30 tahun, yang dilaporkan maut dalam kejadian gempa bumi di Lombok hari ini (29 Jul), belum menerima sebarang pengesahan berhubung kejadian itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa bumi Lombok: Keluarga Siti Nur Ismawida tunggu kesahihan berita

Bapa mangsa, Encik Ismail Abdul Raffar. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Jul 2018 10:04PM Dikemas Kini : 29 Jul 2018 10:10PM

KUALA LUMPUR: Keluarga rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30 tahun, yang dilaporkan maut dalam kejadian gempa bumi di Lombok hari ini (29 Jul), belum menerima sebarang pengesahan berhubung kejadian itu.

Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata hingga 6.00 petang pada Ahad (29 Jul), tiada mana-mana pihak sama ada Kedutaan Malaysia di Jakarta ataupun Kementerian Luar yang menghubungi mereka bagi memaklumkan perkara itu.

Katanya sehubungan itu, pihaknya berharap agar kerajaan dapat membawa beliau atau suami Siti Nur Ismawida ke Lombok bagi mengenal pasti mayat.

“Saya hanya tahu perkara itu ketika menonton berita tengah hari tadi. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu kami untuk memudahkan proses pengecaman.

TERIMA BANYAK PANGGILAN EJEN

"Dan jika benar mangsa yang terkorban itu anak saya, saya harap pihak berkenaan dapat membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah ke Malaysia," kata Encik Ismail.

Encik Ismail turut mendakwa keluarganya menerima beberapa panggilan telefon yang dipercayai ejen yang ingin menguruskan proses membawa pulang jenazah ke ibu negara.

“Ada antara mereka meminta hingga lebih 80 juta Rupiah (S$7,500) bagi urusan membawa pulang jenazah. Pihak keluarga tidak tahu sama ada ejen berkenaan sah atau sebaliknya. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu menyelesaikan perkara ini,” tambah beliau.

SEHARUSNYA PULANG HARI INI

Beliau berkata anak keduanya daripada tiga beradik itu amat meminati aktiviti lasak dan mendaki hampir kesemua lokasi pendakian di Malaysia.

Siti Nur Ismawida, seorang pensyarah kolej swasta di Ampang, antara 18 peserta kumpulan pendaki rakyat Malaysia yang tiba di Lombok pada Selasa lalu (24 Jul) untuk mendaki Gunung Rinjani dan dijadual pulang ke tanah air hari ini (29 Jul).

Kali terakhir mangsa menghubungi keluarga pada malam tadi menerusi aplikasi Whatsapp.

Mangsa dilaporkan cedera parah setelah dihempap runtuhan bangunan rumah yang didudukinya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan