Images
  • tehran earthquake
    Kebanyakan kawasan di Tehran kelihatan sudah kembali tenang sebelum tengah malam. (Gambar: Atta Kenare/ AFP)

Gempa bumi 5.2 Richter melanda Tehran

TEHRAN: Gegaran gempa bumi menggegarkan ibu kota Iran, Tehran semalam (20 Dis). Ratusan orang lari bertempiaran ke jalan raya.

Gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter itu berlaku pada sekitar jam 11.30 malam (waktu tempatan), demikian menurut pusat seismologi Universiti Tehran.

Pusat gempa terletak kira-kira 40 kilometer dari bahagian barat ibu kota itu.

Pihak berkuasa belum dapat mengesan sebarang kerosakan atau mangsa gempa bumi.

"Kami mohon orang ramai terus tenang kerana trafik sendiri dapat mencetuskan pelbagai masalah," kata Mortza Redmare, seorang anggota pasukan bulan sabit tempatan.

Kebanyakan kawasan di ibu kota itu kelihatan sudah kembali tenang sebelum tengah malam.

Gempa bumi itu merupakan bencana terkini yang melanda negara itu dalam tempoh kurang dua minggu.

Satu gempa bumi sekuat 6.2 pada skala Richter melanda wilayah tenggara Kerman pada 13 Disember. Sekurang-kurangnya 18 orang cedera. Namun, hanya kerosakan kecil yang dilaporkan.

Pusat gempa tersebut terletak sekitar 50km dari utara wilayah tenggara Kerman.

Sehari sebelum itu (12 Dis), Kermanshah juga dilanda gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter yang meragut nyawa seramai 620 orang, menurut laporan agensi berita Tasnim kelmarin (19 Dis).

Gempa bumi paling dahsyat yang melanda Iran sejak kebelakangan ini adalah gegaran sekuat 6.6 pada skala Richter di Bam pada 2003. Kota purba itu musnah dan 31,000 orang terkorban.

Pada 1990, gempa bumi sekuat 7.4 pada skala Richter di utara Iran membunuh 40,000 orang, 300,000 lagi cedera manakala hampir setengah juta kehilangan tempat berteduh. 

- AFP/AQ/aq

Top