Images
  • indo quake
    Gempa bumi kuat berukuran 7.3 pada skala Richter melanda kepulauan Maluku di timur Indonesia pada 14 Jul 2019. (Gambar: USGS)

Gempa besar sekuat 7.3 Richter goncang timur Indonesia

JAKARTA: Gempa kuat pada skala Richter 7.3 menggegarkan kepulauan Maluku di timur Indonesia pada Ahad (14 Jul), mencetuskan kecemasan dalam kalangan penduduk yang melarikan diri ke jalan-jalan raya. Tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku kira-kira 165 kilometer pada kedalaman 10 kilometer di bahagian selatan hingga barat daya bandar Ternate di wilayah Utara Maluku sekitar 6.30 petang waktu tempatan.

"Gempa bumi itu agak kuat, membuatkan penduduk melarikan diri ke luar (rumah). Mereka cemas dan ramai kini sedang menunggu di tepi jalan," kata Mansur, seorang pegawai pengurangan bencana tempatan.

Beliau menambah para pegawai sedang menilai keadaan di kawasan terjejas namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Minggu lalu, wilayah itu dilanda gempa pada 6.9 skala Richter tetapi tiada kerosakan teruk dilaporkan.

Indonesia sering dilanda kegiatan seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik di mana berlakunya pertembungan plat tektonik.

Tahun lalu, gempa sekuat 7.5 Richter yang diikuti dengan tsunami melanda Palu, Sulawesi, dan meragut lebih 2,200 jiwa dengan ribuan lain mangsa dilaporkan hilang.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi yang menggerunkan dengan ukuran 9.1 pada skala Richter melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami. Bencana alam buruk itu mengorbankan 220,000 orang di seluruh rantau itu termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia. 

- AFP/FZ/fz

Top