Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Garuda gantung pesawat selepas penumpang warga China diuji positif COVID-19 bagi penerbangan Bali-Shanghai

Garuda Indonesia menggantung penerbangan sebuah pesawat yang membawa seorang penumpang warga China yang diuji positif virus korona COVID-19, menurut syarikat itu pada Khamis (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Garuda gantung pesawat selepas penumpang warga China diuji positif COVID-19 bagi penerbangan Bali-Shanghai

Pesawat Garuda Indonesia. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 13 Feb 2020 04:41PM Dikemas Kini : 13 Feb 2020 04:47PM

JAKARTA: Garuda Indonesia menggantung penerbangan sebuah pesawat yang membawa seorang penumpang warga China yang diuji positif virus korona COVID-19, menurut syarikat itu pada Khamis (13 Feb).

Penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Bali ke Shanghai pada 28 Jan dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada 5 Feb.

Garuda Indonesia, syarikat penerbangan rasmi negara itu, menggantung penerbangan pesawat GA858 bagi menjalankan pemeriksaan lanjut dan pembasmian kuman, menurut syarikat itu.

"(Kami juga) menggantikan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) dalam pesawat ... yang membunuh virus dan bakteria dalam kabin kapal terbang," tambah kenyataan itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat itu turut mendedahkan bahawa pihaknya sudah menyembur cecair pembasmi kuman di dalam kabin-kabin pesawatnya, terutamanya pesawat-pesawat yang melakukan penerbangan antara Indonesia-China.

Kawasan kargo pesawat juga sudah dibasmi kuman, tambah Garuda, dengan kesemua anak kapal menjalani pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang sebelum dan sesudah melakukan penerbangan.

"Kami mengikrarkan komitmen ini untuk mengetatkan lagi langkah-langkah kewaspadaan untuk membendung penularan virus tersebut, terutama sekali dalam kalangan khidmat pengangkutan udara," menurut pengarah operasi Garuda Indonesia, Tumpal M Hutapea.

Pihak berkuasa wilayah China, Anhui, dilaporkan membuat pengumuman di media sosial minggu lalu bahawa pesakit terbabit melakukan penerbangan dengan menaiki pesawat Lion Air JT2618 dari Wuhan - di mana COVID-19 menular - ke Bali pada 22 Jan.

Pesakit tersebut berada di Bali selama sekitar seminggu sebelum menaiki pesawat Garuda Indonesia GA858 dari Bali ke Shanghai pada 28 Jan.

Pada Rabu, jurucakap Lion Air Danang Mandala Prihantoro berkata pesakit itu tidak menunjukkan sebarang simptom semasa melakukan perjalanan dari Wuhan ke Bali.

Menurut beliau lagi, pesakit berkenaan diperiksa secara menyeluruh di lapangan terbang Bali semasa tiba di pulau peranginan itu. Kesemua 188 penumpang dan 11 anak kapal juga diperiksa, tambah Lion Air.

Setakat sehingga Khamis, COVID-19 sudah meragut nyawa lebih 1,300 orang dan menjangkiti lebih 60,000 orang di merata dunia.

Indonesia sejauh ini belum lagi melaporkan sebarang kes jangkitan virus tersebut.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan