Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gara-gara tunjuk isyarat biadap jari tengah, lelaki dimarahi Megatron

Lelaki itu tiba-tiba menunjukkan isyarat jari tengah terhadap Megatron.

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara tunjuk isyarat biadap jari tengah, lelaki dimarahi Megatron

Megatron memarahi seorang pengunjung yang "biadap". (Gambar: Petikan dari video)

BEIJING: Kata orang, tidak kira walau di mana pun kita berada, kita harus sentiasa menjaga adab dan berbudi bahasa.

Jika tidak, haruslah menerima padahnya.

Seperti yang berlaku kepada seorang pengunjung di sebuah taman tema di China.

Lelaki itu dirakam menerusi video sedang menunjukkan isyarat jari tengah, yang juga bermaksud makian, terhadap satu maskot robot Transformers, iaitu Megatron.

Perbuatan lelaki itu mencetuskan respons marah robot tersebut dan rakaman videonya menjadi viral, lapor laman South China Morning Post atau SCMP.

Video itu dirakam di salah satu kawasan baru di taman tema Universal Beijing Resort yang dipanggil Transformers Metrobase, di mana pengunjung boleh bertemu dengan watak-watak yang popular dalam filem Transformers itu.

Ia adalah daya tarikan popular yang menerima begitu ramai pengunjung sehingga terpaksa beratur panjang semata-mata untuk bergambar dan berinteraksi sebentar dengan robot-robot di sana.

Di dalam video viral itu, lelaki berkenaan dilihat memandang ke arah Megatron, iaitu watak jahat yang memimpin sekumpulan robot yang dipanggil Decepticons dalam filem tersebut.

Lelaki itu tiba-tiba menunjukkan isyarat jari tengah terhadap Megatron. Dia kemudian mentertawakan Megatron lalu berjalan ke depan robot tersebut untuk bergambar, lapor SCMP lagi.

Selepas itu, Megatron dilihat berdiam seketika sebelum menyelar perbuatan lelaki berkenaan: "Isyarat anda itu sangat biadap. Tidakkah ibu bapa awak mendidik awak (supaya berkelakuan baik)? Kau budak nakal yang kurang bijak, manusia jijik! Nyah dari sini, saya tidak mahu bergambar dengan dia."

Menurut taman tema itu, pengunjung tersebut tidak melanggar mana-mana peraturan taman tema dan ia tidak akan menyenarai hitam lelaki berkenaan, lapor aplikasi berita Red Star News.

Bagaimanapun, taman tema itu menekankan bahawa ia tidak menggalak kelakuan yang dianggap sebagai boleh menyinggung perasaan, menurut seorang kakitangan khidmat klien.

Respons Megatron terhadap pengunjung tersebut diubah sendiri oleh kakitangan taman tema itu dan ia bukan respons berdasarkan kecerdasan buatan (AI) yang sudah ditetapkan, tambah kakitangan itu.

Lazimnya, Megatron dan robot-robot lain memberikan respons automatik termasuk frasa-frasa yang dipinjam daripada siri Transformers termasuk "manusia jijik" semasa berinteraksi dengan pengunjung.

Video itu menerima begitu banyak respons online.

Antaranya: "Dia tidak rasa perbuatannya memalukan. Sebaliknya seronok. Malah, dia masih boleh tertawa."

Seorang lagi warga siber berkata "Dia tidak menghormati orang lain. Bahagian mukanya tidak harus dikaburkan."

Kelakuan buruk di taman-taman tema di China kerap dimuat naik ke media sosial.

Malah, para penghibur Disneyland yang memakai kostum watak kartun juga sering dirakam, dengan pakaian mereka ditarik-tarik atau topi mereka diketuk oleh pengunjung, lapor SCMP.

Dalam satu kes pada 2019, seorang pengunjung lelaki menarik telinga maskot watak beruang dengan begitu kuat sekali sehingga si pemakai maskot terpaksa menggantung persembahannya.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan